suria

Kritikan Berbaur Rasis Terhadap Hannah Delisha

Hannah Delisha mula mencipta nama selepas muncul dalam drama 'Mencintaimu Mr Photographer'. FOTO: Rohaizat Darus.

POPULARITI diraih pendatang baharu iaitu Hannah Delisha menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer nampaknya mula memberi kesan negatif kepada karier seninya. 

Hannah memberitahu ada segelintir pengikutnya mula memberikan komen negatif yang berbaur rasis hanya kerana dia adalah rakyat Singapura. 

Kata pelakon berusia 21 tahun ini lagi, dia mengakui terkesan dengan komen sedemikian namun cuba bersikap positif kerana sedar ia adalah harga perlu dibayar apabila bergelar selebriti. 

"Jika diikutkan saya jarang baca komen negatif yang ditinggalkan tetapi apabila ada pihak membuat komen berbaur rasis ia membuat saya terkesan. 

"Ada mempertikaikan mengapa saya tidak mahu bekerja sahaja di Singapura dan perkara-perkara sensitif hanya kerana saya bukan rakyat negara ini," katanya kepada mStar Online. 

Hannah Delisha

Hannah ditemui ketika membuat kemunculan pada pelancaran produk penjagaan wajah Guerisson Red Ginseng yang diadakan di Sasa IOI Putrajaya baru-baru ini. 

Bagaimanapun kata Hannah, dia tidak mahu terlalu berfikir mengenai perkara itu dan sentiasa berpegang kepada niatnya untuk mencari rezeki bagi membantu keluarga. 

"Rezeki itu ada di mana-mana, Allah beri saya rezeki di Malaysia dan saya mahu positif dan lihat kepada manfaat berbanding aspek negatif. 

"Paling penting saya ingin memajukan diri dan membantu keluarga saya, itu sahaja," ujarnya. 

Dalam pada itu, Hannah berkata, walaupun namanya mula menjadi perhatian sehinggakan pengikutnya di Instagram naik mendadak hampir 700,000 pengikut hanya dalam masa beberapa bulan namun dia enggan dibayangi perkara itu. 

"Populariti itu memang penting dan saya bersyukur kerana dalam masa singkat pengikut saya sudah meningkat hampir 700,000 sejak muncul dalam drama Mencintaimu Mr Photographer. 

"Tetapi saya tidak mahu populariti itu menguasai diri saya kerana saya sedar pada akhirnya ia akan memakan diri sendiri," jelasnya. 

Sementara itu, Hannah memberitahu dia teruja diberi peluang berlakon dalam filem arahan pengarah terkenal Osman Ali iaitu Langsuir yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi. 

Hannah Delisha menggunakan produk Guerisson Red Ginseng.

Kata Hannah, walaupun gusar namun dia bersedia dan akan melakukan yang terbaik atas kepercayaan diberikan kepadanya. 

“Ini filem pertama saya dan pada awalnya memang terkejut sangat dapat peluang ini tetapi saya akan cuba melakukan yang terbaik dalam memegang watak sebagai Langsuir,” katanya. 

Bercakap mengenai Guerisson Red Ginseng, Hannah berkata, dia mencuba sendiri produk itu dan berpuas hati dengan keberkesannya dalam menjadikan wajah dia bebas minyak, jerawat selain lebih berseri dan anjal. 

"Saya bukan duta produk ini namun diberi peluang mencubanya selama sebulan. 

"Tak sangka pula ia serasi dengan kulit wajah saya dalam menjadikan ia lebih segar dan bebas dari sebarang masalah memandangkan saya sering terdedah kepada cahaya matahari dan penggunaan solekan," katanya.

Hannah Delisha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain