suria

Josiah Hogan Ditipu Sebelum Ke Hollywood

Josiah Hogan gagal mencipta nama di Hollywood kerana ditipu. Foto SHAARI CHE MAT

HARAPAN pelakon Josiah Hogan untuk terlibat dalam produksi filem Hollywood musnah apabila dia ditipu oleh satu produksi antarabangsa pada Disember tahun lalu. 

Mendedahkan perkara itu, Josiah Padilla Hogan atau nama Islamnya Mohamad Musleh, 31, berkata, dia sudah pun melepasi tiga peringkat saringan namun kontraknya ditamatkan atas alasan yang tidak masuk akal. 

Dakwa pelakon itu, produksi berkenaan memberi alasan sikap Josiah yang dilihat cuba bergurau dalam satu kiriman video kepada mereka sebagai punca utama penyingkirannya.


Josiah Hogan

"Dalam video itu saya hanya membuat gurauan biasa sahaja, namun ia dianggap sensitif oleh pihak mereka," ujarnya kepada mStar Online. 

Josiah Hogan ditemui sewaktu majlis tayangan filem Luqman yang turut dibintangi Wan Hanafi Su dan Raja Ilya di e-Curve, Damansara pada Khamis.  

Katanya, dia diarahkan membuat video itu sebagai ganti kepada dirinya yang tidak dapat menghadirkan diri ke acara memperkenalkan pelakon di sana kerana masih terikat dengan penggambaran semula beberapa babak filem KL Vampires.

Namun, dia merasakan punca utama penyingkirannya adalah disebabkan masalah bajet. 

Katanya, produksi itu pastinya memerlukan bajet yang tinggi untuk perjalanan Josiah yang akan berulang alik ke dari Malaysia. 

“Saya berasa kecewa kerana sudah memberikan yang terbaik sewaktu uji bakat secara atas talian. Bagi saringan itu, saya perlu menghafal skrip yang agak banyak namun semua usaha saya itu bagaikan tidak dihargai,” ujarnya.

Dari kiri: Wan Hanafi Su, Raja Ilya dan Josiah Hogan yang terlibat dalam filem Luqman. 

Dedahnya lagi, jika projek berkenaan diteruskan, dia akan dibayar sejumlah AS$67,000 (RM280,730) bagi melakonkan watak makhluk 'elf' dalam cerita itu yang seakan-akan sama seperti filem Lord of The Ring. 

Walau bagaimanapun, dia tidak menolak seandainya menerima tawaran dari mana-mana produksi luar pada masa akan datang. 

"Biasalah… dalam industri ini, macam-macam boleh berlaku. Kalau mahu berjaya memang kena hadapi semua perkara seperti ini," katanya.  

Sementara itu, dia yang memegang watak sebagai Marwan berasa gembira dapat berlakon dalam filem Luqman kerana karya itu yang mengangkat seni tempatan seperti syair dan tarian tradisional. 

Ujarnya, filem yang diarahkan oleh Mahadi J. Murat itu membawa mesej mengenai kepentingan jati diri dan hal itu sangat penting kerana generasi hari ini melebih-lebihkan budaya luar berbanding budaya sendiri. 
Josiah Hogan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain