suria

Jins Shamsuddin Serius, Kelakar

Aksi Jins Shamsuddin dalam filem 'Bukit Kepong'

BUKAN sahaja peminat filem tempatan yang tidak dapat melupakan kehebatan Allahyarhan Tan Sri Jins Shamsuddin, malah rakan artis seperti Datuk Yusof Haslam dan Ogy Ahmad Daud turut mengakui perkara yang sama.

Yusof Haslam menyatakan semangat juang Allahyarham dalam dunia wayang sememangnya sangat dia kagumi.

"Saya menganggap Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai seniman paling hebat selepas Allahyarham Tan Sri P.Ramlee kerana ketokohan dan sumbangannya dalam bidang seni di negara ini," katanya kepada mStar Online.

Yusof  ditemui ketika majlis Imbas Kembali dan Layar Bintang Tan Sri Jins Shamsuddin di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Kelang pada Khamis.

Selain Yusof, majlis diskusi ini turut disertai oleh  Prof. Datuk Dr Asiah Sarji dan wartawan Adam Salleh manakala Chuari Selamat bertindak sebagai moderator.

Kelihatan Halijah (dua dari kiri) bersama Mohd Khusairi (kanan), Fauzi Ayob (tengah) melihat tanda nama yang ditampalkan di ruang Layar Bintang bersebelahan Studio Sound Stage Finas.

Turut hadir Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Ketua Pengarah agensi itu, Datuk Fauzi Ayob, Presiden Seniman, Zed Zaidi, isteri Allahyarham, Puan Sri Halijah Abdullah serta dua anak seniman itu, Hang Jebat dan Hang Nedim serta karayawan seni lain.

Ia diadakan sempena sambutan Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) yang akan diadakan pada 23 September ini.

Dalam pada itu bercerita mengenai Jins Shamsuddin, Yusof berkata, sewaktu di awal perkenalan, dia merasakan Allahyarham adalah seorang yang sombong.

Sifat serius Allahyarham membuatkan dia mempunyai persepsi yang kurang baik namun semuanya berubah setelah mengenalinya secara rapat.

Menurutnya, Jins Shamsuddin bukan sahaja serius di set penggambaran malah sikapnya di luar set juga sama.

Antara individu yang terlibat dalam majlis imbas kembali layar bintang Jins Shamsuddin di Finas.

Hal itu menyebabkan ada pihak yang kurang senang dengan Allahyarham. Namun, dia mengakui Allahyarham adalah seorang yang baik.

"Kami mula rapat ketika Allahyarham sudah berusia 50-an, dari situ saya tahu dia bukan seperti yang saya fikirkan sewaktu awal perkenalan dahulu. Kata orang, tak kenal maka tak cinta," ujarnya.

Sementara itu, Ogy, atau Fauziah Ahmad Daud turut mengakui perkara yang sama.

Katanya, Allahyarham adalah seorang yang sangat serius sewaktu bekerja. Dia turut mengakui takut berlakon di bawah arwah kerana sangat menghormati ikon itu.

Jins Shamsuddin (kiri) ketika mengarahkan filem Esok Masih Ada bersama A. Rahim.

Tambah Ogy, arwah ibunya, Sa'adiah begitu rapat dengan isteri pertama Jins Shamsuddin iaitu Rahmah Rahmat.

Hal itu menyebabkan dia berpeluang melihat sisi kelakar Allahyarham yang tidak ramai orang ketahui.

Ogy mengakui agak sukar untuk mencari pengganti sehebat seniman itu. Katanya, mereka yang akan menggantikan Allahyarham haruslah memiliki minda, sikap dan jiwa yang serupa dengannya.

"Memang benar ada istilah patah tumbuh hilang berganti, namun pemergiannya bagaikan tiada berganti sehingga ke hari ini," luahnya.

Selain majlis diskusi itu, tanda nama Allahyarham turut diabadikan di ruang Layar Bintang bersebelahan Studio Sound Stage Finas, sebaris dengan nama-nama legenda seperti Tan Sri P.Ramlee, A.R Tompel dan  Sa'adiah.

Jins Shamsuddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain