PETALING JAYA: Dua tahun melayari alam pertunangan, pelawak Tauke (Jambu) akhirnya memilih untuk menamatkan zaman duda dengan wanita pilihannya Nadia Mohd Affendi pada Disember depan. Bagaimanapun, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria, 40, berkata, dia memilih agar pernikahan dijalankan dalam keadaan tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat. "Insya-Allah kami akan bernikah pada Disember ini dan majlis resepsi akan diadakan pada 9 Disember depan di Ambersador Hall, Putrajaya. "Tarikh pernikahan saya tidak boleh kongsi, ia mungkin sebelum majlis resepsi. Namun ia akan dijalankan dalam keadaan tertutup untuk ahli keluarga sahaja," ujarnya kepada mStar Online. Tauke ikat kali pertunangan pada 5 Disember tahun lalu. Pasangan ini bertunang di kediaman wanita itu di Terengganu pada 5 Disember 2015. Tauke sebelum ini pernah berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan enam cahaya mata. Selain itu, Tauke berkata, persiapan sebanyak 80 peratus sudah dibuat dan dia turut menerima pelbagai tajaan termasuk lokasi majlis resepsi dan perancang perkahwinan Afeer Kuala Lumpur. Bercerita tentang pengalaman selama dua tahun mengikat tali pertunangan, Tauke berkata ia adalah tempoh masa yang penuh cabaran. Khabar angin putus tunang juga antara cabaran paling besar dalam hubungan berkenaan. "Saya terlalu sibuk dalam tempoh itu dan tidak boleh fokus tentang perkahwinan. Sekarang masa yang sesuai untuk saya fikir tentang kahwin dan majlis. Ya, sepanjang dua tahun memang pelbagai cabaran, betul apa yang orang kata tempoh masa bertunang itu sangat-sangat menguji kita. "Kami juga melalui fasa pasang-surut dalam hubungan ini, tapi saya bersyukur Nadia seorang yang penyabar dan sentiasa berada di sisi jika saya berhadapan dengan masalah," ujarnya.