PENYANYI Kaka Azraff tidak terdesak untuk mencari pasangan hidup walaupun berasa tertekan apabila melihat ramai rakan sebayanya sudah mendirikan rumah tangga. Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 28, berkata, fokus kepada karier seninya membuatkan dia tidak mempunyai masa berfikir soal teman lelaki namun menyerahkan soal itu kepada jodoh. "Kadang-kadang memang rasa tertekan tengok kawan-kawan sebaya sudah pun berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. "Tetapi pada masa sama saya tidak pula mencari cinta kerana merasakan jika tiba jodoh saya pasti akan dipertemukan dengan lelaki yang tepat. "Tambahan pula sekarang saya sibuk dengan karier seni jadi tiada masa memikirkan soal jodoh," katanya. Penyanyi lagu Bukan Hal Aku itu ditemui pada majlis pelancaran album Ratu Rock, Ella berjudul Peace. Love. Rindu yang diadakan di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada Khamis lalu. Kaka mengakui adakalanya berasa tertekan melihat rakan sebayanya yang ramai sudah berkahwin. Kaka yang juga anak saudara kepada Ella turut menyampaikan sebuah lagu berjudul Dua Insan Bercinta sebagai tribute kepada penyanyi legenda itu. Dalam pada itu, Kaka berkata, dia tidak berfikir soal jodoh bukan kerana menutup pintu hatinya selepas hubungannya dengan seorang jejaka berakhir dua tahun lalu. Sebaliknya sebagai manusia biasa dia juga ada berusaha malah mendedahkan dia kini sedang berkawan dengan seseorang namun hubungan itu bukannya istimewa. "Bukanlah langsung tidak berusaha tetapi saya tidak terlalu fokuskan ke arah itu dan biar ia datang dengan sendirinya. "Seperti sekarang saya ada berkawan dengan seseorang tetapi hubungan kami bukannya istimewa dan tidak mahu meletakkan apa-apa harapan. "Rasanya tidak salah berkawan dan dia bukannya orang industri sebaliknya orang biasa sahaja," ujarnya.