PELAKON Farid Kamil sudah dapat menjangkakan isterinya, Diana Danielle akan memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) Sabtu lalu menerusi filem Hanyut. Menurut Farid, keyakinannya itu timbul setelah melihat kematangan lakonan Diana dalam filem tersebut. "Saya sudah boleh agak dia akan menang kerana ketika menonton filem itu, saya terkejut melihat kematangan watak yang dibawa oleh Diana. "Pada malam kemuncak FFM29 saya ada penggambaran drama dan mengetahui mengenai kemenangan Diana melalui seorang teman. "Saya melompat gembira kerana tekaan tepat dan berbangga dengan pencapaiannya," katanya kepada mStar Online. Sementara itu, Farid memaklumkan mereka tidak dapat meraikan hari kemenangan bersama pada malam itu kerana kekangan kerja. Hadiah kemenangan berkenaan diambil oleh ibu Diana iaitu Norsiah Ramli bersama cucunya yang juga anak pasangan berkenaan iaitu Muhammad, 4. "Kami masing-masing sibuk dengan shooting, Diana pun ada penggambaran di Sabah. "Jadi saya hanya sampaikan ucapan tahniah melalui panggilan telefon sahaja dan saya tetap berbangga dengan pencapaian Diana," katanya. Bercerita mengenai lakonannya dalam filem terbaharu iaitu Tombiruo Penunggu Rimba, Farid berkata dia seorang pelakon yang tidak pernah puas dengan apa yang dilakukan. Farid Kamil. Ujarnya, sebagai pelakon dia perlu memikirkan cara memperbaiki mutu lakonan. "Saya ni jenis yang tak pernah puas hati dengan satu benda dan akan buat lebih baik selepas itu," ujarnya. Filem adaptasi daripada novel Ramlee Awang Murshid ini turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa dan Muhammad Al-Rayyan. Ia bakal menemui penonton di pawagam pada 12 Oktober depan.