suria

Remy Ishak Dan Dia Masih Bersama

Remy Ishak bakal memainkan watak sebagai Sultan Melaka menerusi teater Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka. Foto ZAHID IZZANI

SEMENJAK mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Ezza Yusof pada Mei lalu, pelakon Remy Ishak jarang berbicara mengenai wanita itu secara terbuka.

Remy berkata, dia tidak mahu mencampur-adukkan soal peribadi dan kerjaya selain tiada perkembangan terbaharu mengenai hubungan itu.

"Kami masih bersama dan saya bukannya tidak mahu komen mengenai hubungan kami tetapi tiada apa ingin saya ceritakan.

"Jika ada apa-apa perancangan, saya sendiri akan sampaikan kepada semua," katanya kepada mStar Online.

Remy ditemui pada sidang media pelancaran teater Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka di Istana Budaya, Selasa.

Remy dan Ezza mengikat tali pertunangan pada Mei lalu.

Menerusi teater arahan Lokman Ghani itu Remy bakal bergandingan dengan Maya Karin, Ashraf Muslim, Isma Halil Hamzah dan Ebby Yus.

Ia bakal dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka pada 20 dan 21 Oktober depan.

Sementara itu, Remy berkata, dia teruja berpeluan berlakon dalam teater tersebut memandangkan dia jarang dapat peluang melakonkan watak bangsawan menerusi drama mahupun filem.

Malah gandingan bersama Maya dilihat memberi kelebihan dalam mencari keserasian kerana mereka sudah biasa bekerjasama.

"Maya seorang pelakon yang sangat komited dan ruginya rasanya tak ambil peluang untuk bekerjasama dengannya.

Remy dan Maya sekali lagi bergandingan.

"Tambahan pula jarang ada teater bangsawan seperti ini apatah lagi dalam bentuk drama atau pun filem, jadi memang saya ambil peluang ini.

"Lebih mengujakan ia bakal dipentaskan di Melaka iaitu negeri kelahiran saya dan ia sebagai satu penghormatan buat diri saya," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai teater itu, Remy berkata dia sanggup menolak hampir lima tawaran lakonan termasuk menjayakan sebuah program travelog demi Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka.

"Saya hanya terima satu drama bersiri sahaja iaitu Kekasih Paksa Rela untuk siaran slot Akasia TV3 kerana sudah terlalu lama tidak muncul di televisyen.

"Selebihnya memang saya tolak demi memberi fokus kepada teater ini. Nak rasa rugi tidak juga kerana pengalaman daripada projek ini lebih berharga," ujarnya.

Artikel Sebelum

Faye Kusairi Sudah Hamil

Artikel Berikut

Afdlin Shauki Dapat Datuk

Artikel Lain