SIAPA sangka hasil lukisan yang dibuat tanpa rancang mengubah kehidupan pelajar tahun enam iaitu Song Joe Han apabila karyanya dipilih sebagai salah satu maskot Cheek-e Buddies Astro Ceria. Joe Han yang juga pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kwang Hwa, Sungai Nibong Pulau Pinang berkata, dia hanya mengambil masa dua jam menyiapkan watak Ivy dan tidak menyangka lakarannya itu terpilih sebagai pemenang. “Saya sebenarnya tidak suka menonton rancangan kartun tetapi gemar melukis dan mereka karakter apabila mempunyai masa lapang. “Apabila cikgu meminta saya menyertai pertandingan itu saya tidak fikirkan apa-apa pun dan hanya melukis mengikut kata hati kerana kami hanya ada masa dua jam sahaja. Joe Han (tengah) bersama bapanya, Song Soon Huat dan ibu, Lim Shean Pei. “Memang tak sangka langsung akan terpilih sebagai pemenang pada pertandingan ini,” katanya kepada mStar Online. Selain Joe Han, tiga lagi pemenang yang terpilih adalah Nurul Hannah Najihah Mohamad Kamal yang melukis watak maskot Tenny, Lim Jing Xiang (Tydee) dan Wan Mohamad Khairul Asyraf Wan Ahmad (Zanee). Kesemua pemenang menerima hadiah utama berupa sebuah tablet pintar dan sijil penghargaan. Manakala semua watak yang dicipta mereka akan digunakan sebagai maskot rasmi saluran Astro Ceria. Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Ceria, Marissa Hanafi, pihaknya menerima 30,000 penyertaan sejak pertandingan itu dibuka kepada pelajar sekolah pada 8 hingga 21 Mei lalu. Katanya, setiap penyertaan diadili oleh juri profesional termasuk selebriti Hanis Zalikha dalam mencari empat pemenang. Lim Jing Xiang bersama ahli keluarganya. “Penyertaan 30,000 peserta memberi gambaran bahawa kehadiran Cheek-e ini diterima baik oleh kanak-kanak yang menonton saluran Astro Ceria,” katanya. Bagi menghangatkan kehadiran empat maskot terbaharu itu, Marissa berkata, pihaknya akan menganjurkan sebuah pertandingan tarian ‘Jom Menari Bersama Cheek-e Buddie!’ yang akan berlangsung pada 3 hingga 31 Oktober ini. “Sebuah video tarian Cheek-e akan dimuat naik di YouTube dan peserta hanya perlu meniru gerak tari dipersembahkan mereka secara kreatif dan memuat naik video mereka di Instagram dengan menyertakan hastag #cheekebuddies dan nama sekolah. "Tiga buah sekolah dengan jumlah video penyertaan terbanyak akan dikunjungi oleh maskot Cheek-e serta pelakon Wafiy dan Erissa,” katanya.