suria

Nina Nadira Dilihat Sombong

BEKAS peserta Akademi Fantasia 2014, Nina Nadira berkata, dia kelihatan seperti orang sombong yang membuatkan sukar untuk mana-mana individu mendekatinya. 

Malah, Nina atau nama sebenarnya Nina Nadira Naharuddin, 25, berkata dia banyak menerima mesej secara peribadi di Instagramnya yang mengatakan dirinya bukan seorang yang peramah.  

"Sejak awal pembabitan saya dalam industri ada sahaja yang menghantar pesanan secara peribadi di Instagram dengan mengatakan saya ini sombong. 

"Memang tidak dinafikan kalau saya tak senyum, wajah kelihatan sombong. Malah, ada yang tidak berani tegur sebab tengok saya macam tak ramah. 

"Tapi saya bukanlah seperti itu. Kadang-kadang, saya tak perasan dan mungkin waktu itu saya fikir tak ada orang kenal. Jadi, saya jalan sahaja tanpa memandang sesiapa," kata Nina ketika dihubungi mStar Online. 


Nina nafi bersikap sombong seperti yang didakwa netizen

Menurut Nina, dia sudah lali dengan kritikan sebegitu dan sentiasa terbuka menerima segala teguran. 

Bagaimanapun, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Isteri Vs Tunang ini berharap netizen tidak terus menilai dia tanpa mengenali dirinya. 

"Saya sudah biasa dengan kritikan macam itu. Saya akan terima apa sahaja teguran. Yang baik saya ambil, yang negatif kita biarkan sahaja. 

"Takkan saya nak senyum 24 jam. Tapi kalau orang lambai, sudah pasti saya akan membalas semula. Saya harap netizen jangan terus menilai tanpa mengenali saya," ujarnya. 

Dalam perkembangan lain, Nina kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Red Velvet bersama pelakon Neelofa dan Alif Satar. 

Nina memegang watak sebagai Izati, adik kepada Izat lakonan Alif Satar.

Kata Nina, dia tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian diantara dua pelakon tersebut biarpun ia kali pertama mereka bergandingan. 

"Saya masih menjalani penggambaran drama Red Velvet sejak dua bulan lalu. Ini kali pertama saya bekerjasama dengan dua nama besar iaitu Neelofa dan Alif Satar. 

"Alhamdulillah, kami bertiga senang cari keserasian. Mungkin sebab kami suka berborak sebelum mula bekerja menjadikan hubungan kami rapat," kata Nina. 

Drama tersebut akan mula ditayangkan pada penghujung bulan Oktober dengan mengantikan drama yang sedang bersiaran iaitu Awak Suka Saya Tak. 

Selain itu, Nina juga akan mengeluarkan single ketiga berjudul Si Cantik tidak lama lagi.

Nina Nadira

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain