PENYANYI baharu, Haikal Azman mendedahkan dia pernah ditipu puluhan ribu ringgit oleh seorang vokalis kumpulan popular awal 1990-an sebelum bergelar penyanyi. Haikal atau nama sebenarnya Muhammad Mukhlis Haikal Azman, 19, berkata, vokalis berkenaan berjanji untuk membantunya melancarkan karier nyanyian sebelum lesap dengan wang tersebut. "Dia bertemu dengan saya sewaktu pertandingan nyanyian di Pulau Pinang. Bila dia nak bantu, mestilah saya bersetuju. "Namun, saya tidak sangka dia akan menipu saya sehingga kerugian hampir puluhan ribu ringgit," katanya kepada mStar Online. Haikal gembira dengan penerimaan orang ramai untuk single sulungnya. Apa yang lebih menyedihkan, wang berkenaan merupakan wang simpanan untuk ibunya menunaikan ibadah Haji. Dia yang hampir berputus asa kerana kejadian itu bagaimanapun bersyukur kerana ditawarkan menjadi artis naungan New Southern Records Sdn Bhd (NSR). Dalam pada itu, Haikal kini sedang giat mempromosikan single pertamanya yang berjudul Kenangan Cinta. Walaupun baru dilancarkan sebulan yang lalu, video lirik Kenangan Cinta sudah ditonton lebih 700,000 kali di laman YouTube. Mengulas mengenai pencapaian itu, dia meluahkan rasa syukur dan gembira dengan penerimaan orang ramai. Haikal Azman. "Saya pun tidak sangka jumlah tontonan akan tinggi seperti itu dalam tempoh yang amat singkat. "Mungkin orang sekarang suka lagu-lagu yang berentak 90 an," ujarnya lagi. Dia yang menjadikan Zamani Slam dan Achik Spin sebagai idola turut berkebolehan membawa lagu berentak etnik kreatif. Menurut Haikal, tidak semua artis boleh membawa lagu etnik kreatif. Jadi, kebolehan itu diharap dapat membezakan dirinya berbanding artis-artis baharu yang lain.