suria

Ungku Hariz Terdiam Selepas Ke 'Toilet'

Bayi sulung mereka dijangka lahir pada awal tahun hadapan. Foto Instagram: @jihanmuse.

SUAMI kepada pelawak Jihan Musa iaitu Ungku Hariz berkongsi kisah pertama kali mengetahui isterinya sedang hamil. 

Ungku atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 32, berkata pada mulanya dia sangkakan Jihan hanya bergurau. 

"Mula-mula saya sangka Jihan bergurau sahaja. Tiba-tiba dia suruh saya pergi ke toilet, ingatkan ada apa-apa yang dia takutkan. 

"Rupa-rupanya apabila saya lihat di sinki ada ujian kehamilan yang bertanda dua baris. Memang saya terus terdiam dan tak terkata. 

"Alhamdulillah, sepanjang awal kehamilan Jihan tidak mengalami alahan yang sangat teruk atau mengidam yang bukan-bukan," kata Ungku kepada mStar Online.

Jihan dan Ungku masih belum membuat persiapan menyambut bayi sulung mereka.

Menurut Ungku, dia berasa gementar untuk bergelar seorang bapa dan menantikan saat-saat kelahiran bayi sulung mereka. 

Namun, pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka ini ada bertanya pada rakan serta keluarga mengenai cara penjagaan bayi.

"Memang sekarang ini ada perasaan gemuruh nak jadi seorang bapa dan menantikan kelahiran anak sulung kami tidak lama lagi.  

"Untuk cara penjagaan bayi ini saya tak cari di internet tapi lebih banyak bertanya pada kenalan rapat yang sudah menimang cahaya mata pada usia muda.

"Selain itu, ahli keluarga yang paling banyak memberikan panduan kepada saya dan isteri," ujarnya. 

Dalam pada itu, dia dan Jihan masih belum membuat sebarang persediaan menyambut bayi mereka yang dijangka lahir pada awal tahun hadapan. 

Malah, pasangan ini juga mengambil keputusan tidak mahu mengetahui jantina anak mereka biarpun sudah membuat pemeriksaan doktor berulang kali. 

"Buat masa sekarang memang tidak ada apa-apa persediaan atau persiapan walaupun orang kata beli barang bayi sedikit-sedikit tapi kami bukan seperti itu. 

"Entah-entah nanti sehari sebelum bersalin baru nak gelabah. Kami juga ambil keputusan untuk tidak mahu tahu jantina bayi. 

"Biarpun dah banyak kali buat pemeriksaan doktor tapi biarlah perkara itu menjadi kejutan buat kami," katanya. 

Kandungan Jihan kini sudah memasuki lima bulan. 

Ungku dan Jihan mendirikan rumah tangga 20 Mac 2016.

Ungku Hariz, Jihan Musa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain