PENYANYI Zizi Kirana tidak bermaksud untuk menyindir mana-mana individu dalam lagu terbaharunya berjudul Boleh Jalan. Menurut Zizi, 32, lagu tersebut dihasilkan untuk menegur netizen yang sering mengkritik dan meninggalkan komen tidak bermoral mengenai sesuatu isu di alam maya. "Ramai yang fikir lagu tersebut adalah sindiran kepada mereka yang pernah kecam saya kerana isu berpakaian seksi sebelum ini. “Mana Seksi? Bukannya Bogel!” – Zizi Kirana "Kalau nak tahu, lagu tersebut turut menyentuh mengenai banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita terutamanya keyboard warrior yang ada sahaja tak kena di mata mereka. Zizi tidak kisah dikecam kerana berpakaian seksi. "Tapi tak apalah, kalau haters kata saya perli mereka terpulanglah, siapa yang makan cili, dia rasa pedas," katanya ketika dihubungi mStar Online. Lagu ciptaan DJ Fuzz dan lirik oleh Waris itu telah di muat naik di laman YouTube dua minggu lalu dan mendapat hampir 300,000 kali jumlah tontonan. Meskipun menerima kritikan dan kecaman kerana liriknya, Zizi turut tidak menyangka lagu tersebut mendapat sambutan baik pendengar di laman tersebut. "Walaupun ada yang panas hati dengar lagu tersebut, namun masih ada yang suka. "Saya sendiri tidak menyangka penerimaan pendengar dan jumlah tontonan juga meningkat begitu pantas. "Kalau ada yang nak kecam juga, kecamlah! Saya sudah lali dengan kritikan dan cacian, " ujarnya. Zizi berharap netizen menggunakan media sosial secara berhemah. Menyentuh mengenai gejala buli siber yang semakin menjadi-jadi, Zizi kecewa dengan sikap sesetengah pengguna internet yang tidak rasional dalam mengutarakan pendapat dan komen. Malah, dia berharap pengguna laman sosial lebih bijak menggunakan teknologi dan tidak menegur sesuatu secara terbuka sehingga mengaibkan individu berkenaan. "Kalau nak tegur tak perlulah dengan kata makian dan cacian. Apa yang kalian dapat dengan komen menghina begitu?. "Sebab itu dalam lirik lagu tersebut saya ada menyebut istilah 'Ustazah Internet', yang bermaksud hanya dia sahaja yang betul dan berhak menegur tanpa memikirkan perasaan orang lain. "Sedangkan dalam dunia realiti, seorang ilmuan agama tidak akan menegur orang sehingga mengaibkan" katanya.