suria

Astro Bakal Peneraju Genre Seram Asia

Henry Tan (dari kiri) dan Teng Lee Yein dari ASTRO bersama dua pelakon Thailand, Chansakorn Kittiwattanakorn dan Namo Tonggamnerd sewaktu sidang media di TGV One Utama.

STESEN televisyen Astro berhasrat menjuarai rancangan bergenre seram di rantau Asia melalui pengisian yang ditawarkan di saluran BOO 404 milik mereka.

Ketua Pegawai Operasinya, Henry Tan berkata, stesen itu mahu menjadi platform kepada karya-karya seram kerana masyarakat rantau Asia memiliki banyak cerita hantu yang boleh diketengahkan.

“Saluran BOO sememangnya dikhususkan untuk semua cerita seram dari seluruh Asia.

“Untuk merealisasikan hasrat kami dalam menyampaikan karya seram berkualiti, kami bekerjasama dengan rakan-rakan yang mempunyai aspirasi serupa dari negara Asia lain,” ujarnya kepada mStar Online.

Dia ditemui sewaktu sidang media dan sesi tayangan siri seram pertama saluran BOO iaitu 3 a.m Bangkok Ghost Stories di TGV One Utama, Petaling Jaya, pada Isnin.

Menurut Tan, mereka bekerjasama dengan Five Star Production dari Thailand untuk menghasilkan siri seram 13 episod itu yang akan ditayangkan bermula 28 Oktober depan pada pukul tiga pagi, setiap Sabtu.

Dua pelakon Thailand, Chansakorn Kittiwattanakorn (kiri) dan Namo Tonggamnerd yang membintangi siri 3 a.m Bangkok Ghost Stories.

Tambahnya lagi, setelah berakhirnya siri seram 13 episod dari Thailand, saluran BOO akan tampil dengan 13 episod siri seram dari Filipina pula yang berjudul Door.

Ketika diajukan mengenai cerita seram Malaysia di saluran BOO, dia mengakui masih lagi menunggu proposal dari pengkarya tempatan.

“Kami mahu mereka berfikir di luar kotak kerana kita menyasarkan siri-siri dalam saluran BOO untuk dipasarkan di luar Malaysia.

“Mungkin akan ada koloborasi produksi tempatan dengan beberapa pihak luar untuk menghasilkan siri seram yang berkualiti. Kalau bagus, boleh sahaja kita siarkan di saluran BOO,” ujarnya.

Antara yang turut hadir sewaktu sesi tayangan episod pertama siri 3 a.m Bangkok Ghost Stories ialah dua pelakon Thailand iaitu Chansakorn Kittiwattanakorn dan Tongpound  Tonggamnerd.

Selain tayangan di saluran BOO 404, siri 3 a.m Bangkok Ghost Stories juga boleh ditonton menerusi Asto on demand di Astro Go dengan kadar bayaran serendah RM6.35 sebulan.

Astro

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain