suria

Naik Kereta Api Nak Jumpa Tajul

Peminat bergambar kenangan bersama artis kesayangan mereka pada program mStar Jom Santai Bersama Ruhainies dan Tajul yang diadakan pada Sabtu lalu. Foto AZHAR MAHFOF

“SILA anjurkan lagi acara bersama peminat!” Itu permintaan Ruhainies dan Tajul Ariff yang berharap lebih banyak acara bersama kelab peminat diadakan bagi merapatkan hubungan artis dan peminat.

Ruhainies berkata, dia tidak teragak-agak untuk memeriahkan acara seumpama itu kerana ia ialah peluang terbaiknya memberi penghargaan kepada semua penyokongnya menerusi aktiviti santai.

Bercakap lanjut mengenai mStar Jom Santai Bersama Ruhainies dan Tajul yang dianjurkan Sabtu lalu, pelakon yang dikenali menerusi drama Hello Mr. Perfect itu mengakui berasa cukup seronok terutamanya dapat melibatkan diri dalam aktiviti disediakan bersama peminat.

Tajul dan Ruhainies sempat berduet menerusi lagu Di Sana Cinta Di Sini Rindu.

"Saya paling seronok dengan permainan The Mummy! Memang kreatif betul mereka hasilkan pakaian pengantin untuk mumia.

"Tetapi sebenarnya semuanya seronoklah, tambahan pula Tajul pun 'sporting' dan kalau ada lagi jangan lupa jemput saya," katanya.

Seramai 52 peminat artis berkenaan meluangkan masa lebih tiga jam untuk beramah mesra dan menyertai pelbagai acara menarik yang diadakan di Cartel Coffee Shop, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Peminat bukan sahaja dari Kuala Lumpur malah ada yang datang dari Pulau Pinang dan Johor.

Kreatif... Peserta giat menyiapkan mumia mengikut tema diberikan.

Objektif acara itu yang bertujuan mengeratkan silaturahim di antara peminat dan selebriti jelas tercapai apabila mereka semua cukup 'sporting' untuk terlibat dalam beberapa aktiviti diadakan.

Antara permainan yang diperkenalkan ialah tiru gaya artis, The Mummy dan tiup belon.

Acara menjadi kelakar apabila Ruhainies dan Tajul diberikan watak melakonkan adegan kontroversi Shahir Zawawi yang terpalit dengan isu percintaan bersama seorang pramugari.

Niezam Abdullah (dari kiri), Izdihar Rosland, Ruhainies, Tajul dan Zainal Azhar Mohamed melancarkan mStar Jom Santai.

Peminat yang meniru aksi itu tampil dengan gaya berbeza membuatkan suasana gamat dengan gelak ketawa mereka.

Setiap pemenang bagi ketiga-ketiga permainan itu juga turut mendapat hadiah istimewa yang disediakan termasulah cabutan bertuah yang menyediakan hadiah berupa jam tangan dari Ice  Watch.

Penaja program berkenaan iaitu Sun Fabulous yang mengeluarkan produk kesihatan kulit iaitu Chew n Glow turut membuat kejutan dengan memberikan hadiah kapsyen menarik bagi swafoto terbaik.

Pengacara, Kelly Azman turut mengusik penonton yang hadir.

Sementara itu, salah seorang peminat Tajul iaitu Nor Shazlena Othman, 40, sanggup menempuh perjalanan menaik kereta api dari Pulau Pinang semata-mata mahu menyertai acara bersama artis kesayangannya.

Menurut Shazlena, dia sekeluarga sememangnya meminati Tajul dan sering menghadiri persembahan penyanyi itu di seluruh tanah air.

"Kami naik kereta api dari Parit Buntar pada pukul lima pagi dan sampai di KL Sentral hampir pukul sembilan pagi.

Tajul dan Ruhainies sempat melayan untuk berswafoto bersama peminat.

"Ini kali kedua saya datang Kuala Lumpur untuk tengok persembahan Tajul. Kalau di sebelah Utara tu, memang selalu.

"Sebenarnya kami sekeluarga minat dia. Tapi untuk acara dengan mStar ni, saya datang berdua sahaja dengan anak perempuan," katanya.

Seorang lagi peserta, Janatul Hani Jawahail, 36, berkata, acara sebegini baik untuk artis mendekatkan diri dengan peminat selain memberi peluang mereka mengenali dengan lebih dekat.

Shazlena atau dikenali sebagai Mama Leena sempat bergambar bersama Tajul di photobooth tajaan Lukisan Cahaya.

"Rasa eksklusif sangat, bukan selalu dapat peluang jumpa dengan artis kesayangan," katanya.

Azaril Ameer Yahaya, 36, pula memberitahu dia berasa gembira dan berbaloi menyertai majlis itu kerana pengisiannya yang menarik dan santai.

"Bilangan peserta pun tidak terlalu ramai jadi lebih intim untuk kami bermesra dengan Ruhainies dan Tajul. Jika mStar buat lagi acara seperti ini saya pasti akan turut serta," katanya.

Gamat... Azaril (kanan) antara peminat yang cukup 'sporting' pada acara itu.

Azaril turut mengharapkan agar acara sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penganjuran dalam skala yang lebih besar melibatkan lebih ramai artis lain.

Dia yang memenangi swafoto bersama Chew n Glow dalam acara itu berkata, penyertaannya sangat berbaloi kerana dapat membawa pulang pelbagai hadiah menarik dengan bayaran pendaftaran serendah RM30 sahaja.

Dalam pada itu, wakil Sun Fabulous yang mengeluarkan produk kesihatan kulit iaitu Chew n Glow, Datin Zuraida Dahari, 46, berkata, kerjasama pengeluar produk itu dengan mStar dalam menganjurkan acara ini memberi keuntungungan buat kedua-dua pihak.

Pemenang bertuah menerima hadiah daripada Datin Zuraida Dahari (tengah) berupa produk Chew n Glow.

Tambahnya lagi, dia juga teruja dengan sambutan hangat yang diberikan oleh peminat bagi menyertai acara ini.

"Saya sangat berpuas hati dengan acara ini. Melalui acara ini juga, kami dapat memperkenalkan jenama kami.

"Jika ada lagi pada masa hadapan, memang nak sertai lagi sebagai penaja," katanya.

Kakak Ruhainies, pelakon Risteena turut hadir pada acara itu.

Majlis pada petang itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif, Sun Fabulous Sdn Bhd iaitu Izdihar Rosland, Pengarang mStar Online, Zainal Azhar Mohamed dan Pengarang Hiburan mStar Online, Niezam Abdullah.

Pengacara Kelly Azman bertindak sebagai hos pada majlis berkenaan.

Selain Sun Fabulous yang memperkenalkan produk Chew n Glow dan Cartel Coffee Shop, majlis ini turut mendapat tajaan daripada Ice Watch, One Drop Perfume, Lukisan Cahaya (photobooth), Hanara Ann (Brownies dan Cokelat) dan NZ Fingers (Kek Batik dan Cheese Tart).

Turut bekerjasama ialah F&N, Melawati Mall (tiket GSC), Good Virtues Co dan Palladio.

Datin Zuraida Dahari  (kanan) menyampaikan hadiah bagi pihak Sun Fabulous kepada Tajul dan Ruhainies.

Dalam pada itu pihak mStar akan mengadakan acara seperti ini pada masa hadapan dengan kerjasama kelab peminat artis secara berperingkat.

Ia sebagai perancangan dalam usaha menambahkan trafik atau jumlah pembaca mStar dengan menjadikan hiburan dan artis sebagai platformnya.

Ruhainies, Tajul, Jom Santai

Artikel Berikut

Artikel Lain