suria

Mulai Esok Jangan Kaitkan Hafiz Dan Joy Revfa Lagi

Hafiz mahu memberi fokus kepada kahidupan dan kerjaya. Foto Instagram @hafizhamidun.

PENYANYI Hafiz Hamidun tidak mahu dikaitkan lagi dengan Siti Arifah Mohd Amin atau Joy Revfa sebaik sahaja mahkamah membuat keputusan mengenai perceraian mereka pada Rabu.

Hafiz, 33, berkata, dia juga sudah bersedia untuk menerima segala keputusan yang akan diputuskan.

"Selepas mahkamah dah selesaikan semua, saya sudah tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan pihak sana.

"Saya sudah bersedia untuk esok dan harapnya tidak akan timbul apa-apa isu lagi selepas ini," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Menurut Hafiz, dia sebolehnya mahu melupakan segala yang terjadi dan meneruskan kehidupannya seperti biasa selepas ini.

Katanya, dia mahu memberi fokus terhadap kerjaya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap ahli keluarga.

"Selepas ini saya harap kehidupan berjalan seperti biasa. Saya pun mahu fokus pada kerjaya dan keluarga sahaja," ujarnya.

Sebutan permohonan cerai yang dibuat oleh Hafiz akan didengarkan pada esok (Rabu). 

Pada 12 Oktober lalu, Hafiz memfailkan permohonan untuk bercerai dengan Joy yang dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada hari sama Joy melakukan sidang medianya.

Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz. 

Mengenai kerjaya seni, Hafiz bangga dengan prestasi Bob Yusof yang menyanyikan single terbaru ciptaannya berjudul Terbuang Dalam Pelukan sewaktu pertandingan akhir AF Megastar Ahad lalu.

"Bob memang berbakat, kelebihan dari segi penyampaiannya membuat orang yang pertama kali dengar lagu  itu pun boleh jatuh cinta.

"Saya juga ada banyak benda-benda menarik untuk kerjaya saya selepas ini, antara yang saya boleh kongsikan adalah lagu baharu untuk Liza Hanim. Sama-sama kita nantikan," ujarnya.

Hafiz Hamidun, Joy Revfa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain