suria

Harris Baba Tetap Saman Pengurusan Butik

Harris Baba bersama anak kesayangannya, Aleena Zeya yang kini berusia lapan bulan. Foto Instagram @harrisbaba

PENYANYI Harris Baba tetap akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah butik berjenama terkenal kerana menyebabkan anaknya Aleena Zeya ditimpa penutup lampu panas sewaktu berkunjung ke premis itu di Mid Valley City, Kuala Lumpur.

Harris ketika dihubungi berkata, walaupun pihak pengurusan butik itu sudah membuat permohonan maaf namun dia ingin meneruskan tindakan undang-undang sebagai pengajaran atas kecuaian yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku.

"Ketika kejadian pengurus butik itu ada memohon maaf dan menawarkan untuk membayar bil perubatan anak saya tetapi itu bukan soalnya sekarang.

"Insiden itu jelas membuktikan penyelenggaraan tidak dilakukan dengan baik... Kerja pembaikkan lampu pun tidak dapat dilakukan dengan betul apatah lagi bagi sebuah butik terkenal.

"Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan saya tetap akan meneruskan tindakan undang-undang atas kecuaian sehingga menyebabkan kecederaan kepada anak saya," katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Harris memberitahu dia juga sudah membuat laporan di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur pada hari sama kejadian iaitu pada 29 Oktober lalu.

Luahan Harris mengenai kejadian menimpa anak kesayangannya.

Ditanya mengenai keadaan anaknya, Harris berkata, pada hari sama insiden dia segera membawa Aleena yang berusia lapan bulan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan dia mengalami melecur tahap dua.

Bagaimanapun kata Harris, Aleena kini beransur pulih dan parut itu dijangka akan hilang dalam masa dua bulan.

"Alhamdulillah ia bukan melecur tahap tiga. Jika tidak parut itu akan berkekalan di wajah anak saya.

"Remuk hati saya melihat keadaan anak yang saya jaga dengan baik tetapi kerana kelalaian orang lain dia terpaksa menjadi mangsa.

"Mujur ia tidak terkena pada mata Aleena yang boleh menyebabkan kecacatan penglihatan," jelasnya.

Dalam kejadian itu, dagu dan kedua-dua belah tangan Aleena melecur.

Sementara itu, pihak butik itu ketika dihubungi mStar Online bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan hanya memberitahu mereka sedang menyiasat insiden itu.

Harris Baba

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain