VOKALIS kumpulan Search iaitu Amy mengambil langkah untuk tidak membalas sebarang kenyataan dikeluarkan oleh bekas pemain dramnya iaitu Yazit berhubung kemelut yang melanda di antara mereka sejak tahun lalu. Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 59, sebaliknya berkata, dia tidak melihat ada sebarang kebaikan berbuat demikian termasuk kenyataan terbaharu Yazit yang enggan dipanggil bekas anggota Search. "Saya tiada komen mengenai apa sahaja kenyataannya dan tidak mahu bercakap mengenainya," katanya ringkas. Amy ditemui pada majlis pelancaran album terbaharu Search berjudul Katharsis yang diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Khamis. Selain Amy, Search kini dianggotai oleh Nasir Rockfather (bass), Din (gitar) dan Kid (gitar). Dalam pada itu, pemain bes Search, Nasir berkata, kemelut yang melanda kumpulan itu tidak menggangu gugat proses rakaman album terbaharu mereka. Search dari kiri; Nasir, Amy, Kit dan Nordin bersama album single lagu Sidang Kangaroo daripada album Katharsis. Sebaliknya kata Nasir, Search komited dan fokus terhadap buah tangan terbaharu mereka itu dan melupakan sebarang masalah yang sedang melanda mereka. "Pada saya kita kena 'move on' dan memberi tumpuan kepada perkara lebih baik dan bukannya berfikir mengenai hal yang lalu. "Masalah tetap masalah. Itu hakikat... kita selesai satu persatu. Tetapi untuk proses album ini kami tidak biarkan ia menggangu dan memberi sepenuhnya komitmen dalam menyiapkan Katharsis," ujarnya. Bercakap lanjut mengenai album tersebut, Amy berkata, Search mengambil masa selama 700 jam bagi menyiapkan album itu. Kata Amy lagi, pembikinan album itu juga menjadi sejarah buat Search kerana ia nashkah paling lama untuk disiapkan sepanjang karier mereka. Search bersama penerbit album mereka, Datuk M. Nasir (dua dari kanan) dan Presiden Pawan Music, Datuk Ahmad Zaharul Annuar (tiga dari kiri). "Kami memulakan projek album ini sejak bulan Ramadan lalu dan ia mengambil masa 700 jam untuk disiapkan. "Sejujurnya masa masuk studio memang tidak ada idea langsung tetapi dari situlah ia berkembang dan akhirnya terhasil sebuah album. "Biarpun mengambil masa yang lama tetapi kami berpuas hati kerana hasilnya bukan sahaja melambangkan Search tetapi ia sarat dengan elemen dan bunyi lebih berkualiti," katanya. Sementara itu, Amy berkata, bagi album terbaharu ini, Search kembali menggunakan khidmat Datuk M. Nasir yang sebelum ini banyak menerbitkan album terdahulu Search. Selain M. Nasir, Search turut bekerjasama dengan S Amin Shahab, Usop dan Buddi Hekayat. Amy Search. "Hampir sebulan juga saya dan Nasir berjumpa dengan M. Nasir untuk memintanya menjadi penerbit album kami dan beliau pula sebenarnya memang menunggu bila kami hendak rakam album baru. "Jiwa rock yang ada dalam diri M. Nasir sebenarnya beliau simpan untuk diluahkan menerusi Search dan Katharsis boleh dikatakan album terbaik pernah kami hasilkan. "Ia mempunyai jiwa kami semua dan mengimbau kegemilangan ketika kami merakamkan album Fenomena hampir 30 tahun lalu," katanya. Search ketika bersama Yazit (dua dari kanan). Dalam perkembangan sama, Amy tidak menafikan Katharsis mungkin adalah album terakhir daripada Search kerana tidak tahu bila lagi mereka akan merakamkan album selepas ini. "Album ini pun menunggu 11 tahun untuk dihasilkan dan saya sendiri tiada jawapan bila album seterusnya kami akan buat. Boleh jadi ini adalah yang terakhir daripada Search," jelasnya.