suria

Amy Tak Angkat Kaki, Janna Nick Sarung Jersi

Amy Search dan Janna Nick ramal pasukan masing-masing berjaya bawa balik Piala Malaysia.

PENYANYI legenda Amy Search berkata dia tidak akan angkat kaki biarpun pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) kalah menentang Kedah dalam perlawanan Piala Malaysia 2017 pada malam Sabtu.

Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 59, berkata, sebagai penyokong tegar yang berasal dari negeri berkenaan, dia akan terus setia memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan itu.

"Sudah tentu saya akan turun ke stadium kerana saya sudah ada tiket dan saya jangka JDT akan menang 2-0 pada perlawanan malam ini (Sabtu).

"Kalau menang kita akan meraikan bersama-sama dan jika kalah sekalipun saya tidak akan meninggalkan stadium.

"Bagi saya kita perlu ada semangat kesukanan. Kasihanlah kalau mereka bersedih dan kita pula tinggalkan stadium," ujarnya kepada mStar Online.

Amy (Search).

Dalam pada itu, Amy berkata, dia mengharapkan jaringan gol daripada Mohammed Ghaddar dan Shafik Rahim.

Sementara itu, peminat tegar pasukan Kedah, aktres Janna Nick pula berjanji untuk memakai jersi pasukan itu sepanjang hari jika berjaya menjulang kemenangan tersebut.

Bagaimanapun, Janna berkata, dia akan menyanyikan lagu JDT secara langsung di Instagram miliknya jika pasukan berkenaan menang perlawanan itu.

"Ramalan saya Kedah menang 1-0 pada dan kalau Kedah menang saya nak pakai jersi Kedah satu hari.

Tapi kalau kalah saya nak nyanyi lagu JDT di Instagram. Sama-sama kita nantikan malam ini ya!" ujarnya.

mStar Default Image
Janna Nick.

Namun, pelakon drama Dia ini kecewa tidak dapat menyaksikan perlawanan itu di stadium berikutan jadual kerja yang padat.

Dia yang baharu sahaja keluar dari hospital akibat jangkitan pada paru-paru memberitahu terpaksa berada di studio untuk rakaman lagu baharunya.

"Saya sedih kerana tidak dapat pergi ke stadium, pada awalnya memang rancang ingin menyaksikan dan beri sokongan kepada pasukan Kedah.

"Namun, disebabkan saya baru sahaja keluar hospital dan jadual kerja banyak tertunda terpaksalah saya sokong dari luar sahaja. Saya ada rakaman lagu baru di studio," ujarnya.

Janna berharap pasukan Kedah dapat memberi persembahan terbaik pada perlawanan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain