PENYANYI Stacy mengakui berasa patah semangat apabila tidak mendapat semula suaranya untuk menyanyi selepas berehat panjang kerana bersalin anak pertama. Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 27, berkata, perkara itu dilalui hampir tujuh bulan sehingga dia turut menolak beberapa tawaran persembahan yang datang. "Hampir setahun lebih saya berehat membuatkan suara saya hilang, saya tidak boleh nyanyi, saya sangka ia adalah kesan kerana baru lepas bersalin. "Saya betul-betul patah semangat hingga rasa tidak mahu menyanyi. Tapi bila saya fikir positif dan cuba pergi ke gimnasium untuk mencari stamina suara itu kembali semula," ujarnya kepada mStar Online. Stacy ditemui selepas selesai membuat persembahan di Abugerah Skrin 2017, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam Jumaat. Stacy kembali dengan single berjudul Cakap Ke Tangan. Penyanyi ini berkahwin dengan Akim Ahmad pada 5 Februari 2016 dalam sebuah majlis yang diadakan di Hotel Shangri-La, Kota Kinabalu Sabah. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 17 Februari lalu. Stacy berkata, dia juga pernah memberitahu suaminya penyanyi Akim Ahmad untuk berundur dari industri disebabkan masalah itu. Bagaimanapun, Akim menasihatkan agar dia bersabar dan membeli set karaoke untuk dia berlatih. "Sampai satu tahap saya cakap dengan Akim biar dia sahaja yang cari makan kerana saya sudah tidak boleh menyanyi. Stacy kini kerap ke gimnasium bagi mendapatkan stamina. Mana tidaknya suara saya jadi seperti suara lelaki dan tidak sampai untuk menyanyi nada tinggi," ujarnya. Sementara itu, Stacy berkata, dia kini dalam proses mengembalikan suara dan rentak tariannya seperti sebelum bersalin. "Alhamdulilah, suara saya sedikit demi sedikit kembali tapi saya perlu lebih banyak berlatih. Begitu juga tarian, sekarang saya rasa semput untuk menari tidak seperti dahulu," katanya. Sementara itu, Stacy yang tampil dengan lagu baharu berjudul Cakap Ke Tangan ini juga mengakui kehilangannya selama setahun membuka ruang kepada penyanyi lain untuk mengambil ruang tersebut. Namun, katanya, kemunculan penyanyi seperti Aida Jebat dan De Fam adalah satu perkembangan yang sihat untuk industri.