PETALING JAYA: Pelakon Datin Maria Farida akhirnya mampu menarik nafas lega apabila memperoleh kemenangan terhadap saman fitnah yang difailkan terhadap bekas isteri suaminya, Hadijah Mokhtar pada Selasa. Maria berkata, derita selama dua tahun difitnah wanita tersebut akhirnya terbayar sekali gus dapat membersihkan namanya yang tercalar dengan pelbagai tohmahan sebelum ini. "Sepanjang dua tahun saya dan keluarga menerima pelbagai fitnah daripadanya sehingga ia meninggalkan kesan mendalam pada diri saya. "Ramai memandang serong terhadap saya gara-gara fitnah yang dilakukannya dan kemenangan ini bukti saya tidak bersalah. "Alhamdulillah kemenangan berpihak kepada saya dan berharap dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan tanpa sebarang gangguan selepas ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa. Maria berkongsi mengenai keputusan mahkamah di Instagram. ARTIKEL BERKAITAN: Tak Tahan Difitnah, Maria Farida Bakal Saman Bekas Isteri Suaminya Maria memberitahu keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi Selasa. Kata Maria, dia juga akan mengemukan tuntutan ganti rugi terhadap Hadijah dan dokumentasi mengenai perkara itu sedang diuruskan oleh pihak peguamnya. Dalam pada itu, Maria berkata, mahkamah juga memerintahkan Hadijah menjalani hukuman penjara selama dua minggu selepas dia tidak mengendahkan notis supaya menghadiri perbicaraan. Kata Maria, dia berharap hukuman dan keputusan dikeluarkan mahkamah menjadi pengajaran kepada wanita itu dan tidak lagi menggangu hidupnya selepas ini. Maria dalam sidang media pada tahun lalu mendedahkan dia difitnah. "Jika benar saya salah mengapa dia takut untuk datang ke mahkamah? Akibat kedegilannya itu mahkamah memerintahkan dia dipenjarakan selama dua minggu. "Keputusan hari ini juga membuktikan siapa salah dan sebaliknya. Saya benar-benar berharap dia tidak mengulangi perbuatannya dan belajar daripada kesilapan," ujarnya. Sebelum ini, Maria mendakwa Hadijah atau lebih dikenali sebagai Karen Rayyan secara berterusan membuat pelbagai tuduhan terhadapnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan media sosial seperti Facebook dan Instagram. Wanita itu mendakwa Maria menjadi punca keretakan rumah tangganya dengan Datuk Rahman Shakur. Selain itu Karen Rayyan didakwa turut membuat tuduhan Maria memukul anaknya iaitu Qalif Rayyan, 8, ketika Maria menjaga anak itu. Maria, 46, dan Rahman berkahwin pada 26 November 2015.