PELAKON Sarah Hildebrand pernah berasa berang terhadap segelintir pengikutnya apabila ada yang mendakwa dia menutup aurat kerana mengikut trend dan bukannya ikhlas dari hati. Kata Sarah atau Nur Sarah Marier Hildebrand ini, dia menyifatkan komen tersebut sebagai paling mengarut pernah diterimanya di laman sosial sehingga terpanggil untuk menjawab tuduhan itu. "Sebelum ini apa sahaja kata-kata negatif dilemparkan saya tidak pernah sekali pun ambil peduli atau ada inisiatif untuk menjawab tuduhan terhadap saya. "Tetapi apabila ia menyentuh tentang tindakan dan tujuan saya memakai tudung memang saya berasa marah apatah lagi dakwaan itu fitnah. "Siapa mereka untuk berkata demikian? Jangan sesuka hati membuat komen jika tidak tahu mengenainya," katanya yang mula mengenakan hijab sejak setahun lalu. Sarah akan bercuti ke Amerika selama dua bulan. Bagaimanapun kata pelakon kacukan Melayu-Inggeris berusia 27 tahun ini, dia menganggap perkara itu sebagai salah satu ujian dalam ke arah kebaikan. Malah katanya, walaupun pernah berasa marah dengan tuduhan dilemparkan, dia sekali pun tidak pernah tergugat dengan tuduhan terhadapnya. "Alhamdulillah, dalam dugaan itu sebenarnya lebih banyak manisnya perubahan dilakukan dan bersyukur saya terus istiqamah dan lebih yakin dengan diri. "Sebelum memakai tudung pun, saya bukanlah seorang yang gemar berpakaian seksi dan apa yang saya lakukan adalah kerana tuntutan agama," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Sarah berkata, dia akan berangkat ke Amerika Syarikat pada pertengahan bulan ini selama dua bulan untuk bercuti dan bertemu dengan bapanya, Jeffrey L. Hildebrand yang kali terakhir ditemuinya pada 2009. "Hampir lapan tahun tidak bertemu dengan bapa, jadi alang-alang hendak pulang ke Amerika saya ambik cuti panjang sikit untuk menghabiskan masa bersama bapa. "Kami juga merancang untuk bercuti di beberapa tempat menarik di Amerika dan memang tak sabar hendak ke sana kerana sudah lama tidak pulang," katanya.