PENYANYI dan pengacara Raja Azura menceritakan, dia mengalami batuk tanpa henti sebelum memulakan persembahan pada malam konsert Gegar Vaganza minggu ketiga pada Ahad. Raja Azura atau lebih mesra dengan panggilan Kak Engku, 45, berkata sehari sebelum konsert berlangsung dia tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu Perhaps Perhaps Perhaps dengan baik namun masalah mula timbul apabila malam persembahan. "Saya batuk tak berhenti di belakang pentas sebelum persembahan. Sampaikan saya tidak boleh bernafas. "Benda nak jadi kan dan itu adalah dugaan. Saya perlu teruskan melakukan persembahan. Sebab itu ada bahagian vokal saya terpaksa tarik nak tahan batuk. "Kalau ikutkan ketika sehari sebelum konsert bermula saya nyanyi boleh katakan sempurna tanpa komen daripada juri," kata Raja Azura kepada mStar Online. Perbezaan markah antara Raja Azura dan Elyana hanya 0.02 peratus sahaja. Pada konsert GV minggu ketiga malam Ahad, Raja Azura diumumkan tersingkir yang seterusnya melenyapkan hasrat dia untuk terus kekal dalam pertandingan itu. Dia mendapat markah paling rendah iaitu 61.2 peratus manakala penyanyi Elyana pula kedua terendah dengan markah 61.4 peratus. Menurut Raja Azura, sebagai anak seni yang sudah lama berada dalam industri dia hanya jujur menyampaikan persembahan. "Kita dah lama dalam industri seni dan pelbagai cabaran yang saya lalui. Seni itu halus dan jujur apabila kita berada di atas pentas. "Kita jujur untuk menghiburkan orang. Saya jujur dari hati dan tidak ada niat nak mengalahkan sesiapa pun. "Pertandingan itu adalah adat tapi persembahan saya sememangnya ikhlas untuk menghiburkan semua orang yang menonton," ujarnya. Tergamam min tengok @raja_azura menari. Vasss!!! ?????????? A post shared by mStar Online (@mstaronlineofficial) on Nov 12, 2017 at 5:47am PST Dalam pada itu, Raja Azura tidak ada rancangan untuk menerbitkan single mahupun album selepas ini namun, dia berbesar hati untuk menerima sebarang tawaran untuk persembahan di acara atau majlis korporat. "Saya tak ada perancangan nak ada single atau album selepas ini. Saya masuk GV ini pun disebabkan anak-anak yang suruh. "Tapi kalau ada tawaran untuk menyanyi di acara atau majlis korporat, insya-Allah saya akan ambil," katanya.