suria

Tiada Permohonan Nikah Fattah, Fazura

Fazura dan Fattah menunaikan Umrah pada Rabu.

PETALING JAYA: Status pernikahan aktor Fattah Amin dan Nur Fazura terus menjadi tanda tanya apabila Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Petaling mengesahkan tidak menerima sebarang maklumat tentang pernikahan berkenaan yang kononnya berlangsung pada malam Selasa lalu.

Menurut jurucakap pejabat agama itu, kedua-dua pelakon tersebut juga belum hadir untuk menguruskan hal berkaitan nikah kahwin di pejabat agama berkenaan.

"Kebiasaannya tiada majlis pernikahan dilakukan pada waktu berkenaan (malam). Pihak yang mahu berkahwin sepatutnya membuat permohonan pernikahan terlebih dahulu sebelum dinikahkan oleh pegawai dari pejabat agama," kata jurucakap tersebut.

Namun begitu tambahnya, sesuatu pernikahan boleh juga dibuat tanpa mendapat permohonan pejabat agama daerah iaitu dengan menggunakan khidmat juru nikah kariah masjid berdekatan.

Bagaimanapun katanya, dalam kes berkenaan, ia perlu dilakukan secara tertutup yang kebiasaannya bagi kes tangkap khalwat.

"Apa-apa pun, jika mereka (Fattah dan Fazura) benar-benar sudah bernikah, mereka perlu datang daftar di sini (jika pernikahan dilakukan di daerah Petaling)," ujarnya kepada mStar Online.

Tunggu Fattah, Fazura Pulang Dari Makkah

Foto Fattah dan Fazura yang sempat dirakam ketika berada di KLIA. Foto Instagram: @thefa_team.

Dunia hiburan pada Rabu dikejutkan dengan berita kononnya pelakon Fattah Amin, 27, dan Fazura, 34, bernikah dalam diam yang mana majlis itu hanya dihadiri keluarga dan kenalan terdekat mereka sahaja.

Media melaporkan, satu majlis telah berlangsung di rumah nenek Fazura di Petaling Jaya pada malam Selasa lalu namun tidak dipastikan sama ada ia majlis pernikahan, pertunangan atau kenduri kesyukuran untuk mereka mengerjakan umrah. 

Fattah dan Fazura menunaikan Umrah di Makkah bersama keluarga masing-masing dan berlepas pada pagi Rabu.

Sementara itu, pasangan berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan akan mengadakan satu sidang media pada 23 November ini selepas pulang mengerjakan umrah.

Fazura, Fattah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain