PENYANYI Bella Astillah menjelaskan punca yang menyebabkan suaminya, Aliff Aziz memuat naik status menyelar kenyataan Nur Afifah Nasir di Instagram pada 4 November lalu. Bella, 23, berkata, Aliff kurang senang dengan kenyataan yang diberikan pelakon tersebut kepada media, lantas memuat naik status di laman sosial tersebut. "Saya ada tunjuk kenyataan pihak sana (Afifah) mengatakan kami sudah berbaik dan Aliff betul-betul marah bila baca tentang hal itu kerana ia tidak benar. Tetapi saya tak sangka pula dia akan muat naik status penjelasan di Instagram. "Saya terbaca status tersebut di Instagram Aliff pada petang hari kejadian, namun saya tidak bertanya lanjut kerana tak mahu memanjangkan cerita," katanya pada mStar Online. Afifah Dah 'Move On', Bukan Sindir Bella Bella ditemui semasa sidang media pelancaran produk solekan nude IamDNM di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada Isnin. Bella bersama Aliff dan anak mereka. Foto Instagram @aliffaziz91 Menerusi muat naik di laman tersebut, Aliff Aziz menyelar kenyataan Afifah yang mendakwa dirinya sudah berbaik dengan Bella. Sementara itu, Bella berkata dia tidak mahu lagi memanjangkan isu yang telah berlaku sebelum ini. Malah, dia turut mengakui sudah move on daripada kisah lampau dan mahu membina semula keluarga. "Saya dah move on dan tak nak panjangkan lagi kisah itu. Malah, saya tak nak tahu apa-apa hal berkaitan pihak sana. "Sekarang ini saya hanya mahu fokus dengan keluarga sahaja. Tak nak fikir lagi tentang benda lepas," katanya. Bella bersama pengasas produk IamDNM, Datuk Nadia Marni Mat Zin dan pengacara Ifa Raziah. Dunia hiburan sebelum ini dikejutkan apabila penyanyi Aliff Aziz ditahan pihak polis selepas didakwa mencederakan isterinya Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah dalam sebuah kelab karaoke di Taman Shamelin, Cheras pada 27 Julai lalu. Bella bersama ibunya dikatakan berjaya menemui Aliff namun dia didapati bersama seorang wanita iaitu Afifah di pusat hiburan berkenaan. Aliff yang berasal dari Singapura dan Bella berkahwin pada September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia empat bulan.