suria

Mencabar Jaga Anak - Akim

Akim bersama Stacy dan anak-anaknya.

PENYANYI Akim Ahmad mengakui tugasan menjaga anak perempuannya, Eshaal yang kini berusia sepuluh bulan ketika isterinya Stacy bekerja adalah sesuatu yang mencabar.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Akim, berkata dia mengambil masa yang lama untuk menidurkan bayi berkenaan.

“Paling susah bila Stacy tak ada dan saya perlu jaga anak kami ketika dia dah mengantuk dan nak tidur.

“Susah nak tidurkan dia dan akan ambil masa yang lama. Kalau ada isteri saya senang sahaja sebab dia memang manja dengan Stacy.

“Tapi seronok dapat meluangkan masa dengan mereka. Bab lain semua saya boleh sahaja buat tanpa ibu mereka,” kata Akim kepada mStar Online.

Akim ditemui ketika sidang media konsert Akim & The Majistret Singapura di Suka Sucre, Taman Pertama, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambah Akim lagi, dia dan Stacy akan membahagikan masa memandangkan penyanyi wanita itu sudah kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Kata Akim, mereka berdua tidak mempercayai orang luar untuk menjaga dua orang anak perempuannya kecuali ahli keluarga terdekat.

“Saya dan Stacy akan bahagikan masa dan jadual untuk bergilir-gilir menjaga anak kami sebab dia dah mula aktif nyanyian.

“Kalau dia kerja, saya akan jaga dan begitu juga seterusnya. Kami tak percaya orang lain untuk menjaga mereka.

“Kecuali keluarga terdekat. Pembantu rumah ada untuk mengemas rumah sahaja,” ujarnya.

Akim, 26, sah menjadi suami kepada Ummu Syaikhah Stacy Anam, 27, di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari 2016.

Stacy dan Akim mempunyai seorang anak angkat bernama Bella yang kini berusia 5 tahun.

Akim Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain