PELAKON Mawar Rashid tidak melihat tindakannya menari pada majlis resepsi perkahwinannya sebagai perbuatan yang salah. Bagaimanapun kata Mawar, dia sedar tidak semua pihak boleh menerima sesuatu perkara dilakukannya namun dia tetap dengan pendiriannya kerana niatnya hanya ingin meraikan hari bahagia bersama suami. "Bukan semua yang kita lakukan orang dapat terima, itu perkara biasa. Saya percaya apa saya lakukan dan tidak pernah memaksa sesiapa pun untuk menyokongnya. "Tambahan pula tidak salah saya nak menari pada majlis perkahwinan saya dan suami, lagipun malam itu kami ingin meraikan hari bahagia dan mahu semua orang gembira. "Takkan hendak bersedih pula. Betul atau salah, saya tetap dengan pendirian saya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Mawar dan Raf ketika hari persandingan mereka yang diadakan pada Jumaat lalu. Foto Ihsan AMIR NAUFAL PHOTOGRAPHY Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 22, berkata demikian sebagai mengulas kritikan netizen berhubung video memperlihatkan dia menari pada majlis resepsinya yang diadakan pada Jumaat lalu. Video tersebut yang dimuat naik pelakon Uqasha Senrose mendapat perhatian netizen yang merasakan Mawar sebagai wanita tidak patut menari di hadapan khalayak ramai. Dalam pada itu, Mawar berkata, memang menjadi impiannya untuk menari pada majlis perkahwinannya dan merasakan tarian dipersembahkan bukan keterlaluan. "Dah lama saya bayangkan hendak menari di majlis persandingan sendiri dan setiap langkah tarian itu juga saya reka sendiri mengikut kesesuaian. Pasangan ini berkahwin pada 9 November lalu. Foto Ihsan AMIR NAUFAL PHOTOGRAPHY "Kalau sesiapa mengikuti perkembangan karier saya, mereka tahu memang saya gemar menari," jelasnya. Sementara itu, suaminya, Raf Yaakob berkata, perkara itu tidak sepatutnya diperbesarkan kerana tarian yang dilakukan itu tidak melampaui batas. “Tarian tersebut tidak ada gerakan berbaur seksual pun dan hanya tarian biasa sahaja dan tidak sepatutnya menjadi isu pun. "Tapi segala komen negatif netizen tidak memberi kesan kepada kehidupan kami," katanya. Pemilik nama sebenar Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, dan Mawar berkahwin pada 9 November lalu selepas empat bulan mengikat tali pertunangan.