PETALING JAYA: Penyanyi Indah Ruhaila mengesahkan bakal melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihannya pada Ahad ini. Bagaimanapun, Indah, 30, berkata majlis tersebut akan diadakan secara sederhana dan tertutup hanya untuk keluarga dan sahabat terdekat. "Saya akan melangsungkan pernikahan pada 24 Disember (Ahad) ini dan meminta maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan media yang saya sayangi kerana majlis ini akan diadakan secara sederhana. "Majlis tersebut hanya untuk keluarga dan sahabat rapat sahaja," ujarnya kepada mStar Online, pada Khamis. Sementara itu, Indah menjelaskan, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkara tersebut, sebaliknya terpaksa menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak. "Saya minta maaf, jauh di lubuk hati saya mahu berkongsi kegembiraan ini dengan semua. Terima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya saya selama ini. "Saya akan mendedahkan bakal suami dan kenyataan rasmi selepas majlis pernikahan," ujarnya. Indah sebelum ini pernah bertunang dengan lelaki dikenali panggilan R selama empat tahun namun hubungan tersebut putus ditengah jalan.