TAHUN 2017 banyak memperlihatkan beberapa artis terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk isu curang, perceraian dan penyalahgunaan barangan terlarang. Insiden melibatkan artis sedikit sebanyak memberi tempias kepada nama selebriti secara keseluruhannya. Bagi Nazrief Nazri, sebagai pelakon yang sedang meningkat naik dia menjadikan perkara yang berlaku sebagai pengajaran agar tidak mudah tersalah langkah. Ini kerana kata Nazrief, walaupun kontroversi menimpa segelintir artis namun sebagai selebriti dia sedar setiap tingkah lakunya sentiasa diperhatikan. "Jika diikutkan bukan artis sahaja yang buat salah tetapi orang biasa pun ramai cuma sebagai selebriti kami menjadi perhatian masyarakat. Nazrief kini sibuk dengan penggambaran drama. "Saya sendiri sebelum bergelar pelakon sedar akan perkara ini dan Insya-Allah cuba menjaga nama baik dan sentiasa beringat agar tidak terpalit dengan sebarang kontroversi. "Alhamdulillah setakat ini belum lagi saya buat perkara bukan-bukan dan fokus saya pun hanya kepada kerja sahaja," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Nazrief berkata, pihak pengurusannya, Mind Order Management turut sentiasa mengingatkan dirinya agar sentiasa menjaga kelakuan agar tidak terjerumus dalam kancah kontroversi. Malah katanya, dia juga beruntung kerana pengurusnya juga adalah bekas wartawan hiburan berpengalaman yang banyak memberinya nasihat tentang dunia seni dan media. "Pengurus saya sering ingatkan saya tentang perkara yang boleh dilakukan dan sebaliknya. "Dia juga banyak membantu dalam hal-hal berkaitan dengan media dan ia banyak membantu kerjaya saya," jelasnya.