SELEPAS dua tahun pasangan duo iaitu Sleeq mengumumkan perpecahan mereka, salah seorang anggotanya iaitu Alif memberitahu tiada perancangan untuk mereka kembali bersatu. Alif menjelaskan Syarif kini bahagia dengan kehidupannya selain mula aktif dalam bidang lakonan di Singapura. "Rasanya perkara itu tidak akan terjadi kerana kami masing-masing pun sudah ada haluan sendiri. "Syarif pun bahagia dengan kehidupannya sekarang bersama keluarga di Singapura," katanya. Menjelaskan hubungan mereka yang berantakan, Alif menyangkal dakwaan itu dan memberitahu silaturahim mereka masih terjalin baik. Syarif dan Alif ketika memenangi trofi pada Anugerah MeleTOP pada 2014. "Kami ada hubungan keluarga. Syarif sepupu saya jadi bukan satu isu mengenai hubungan kami. "Ada juga kami berjumpa pada acara keluarga seperti hari raya dan sebagainya... tiada masalah," jelasnya. Bercakap mengenai kerjayanya, Alif berkata dia mencabar diri dengan menyanyi selain rap dalam single terbaharunya berjudul Buat Selamanya. Akui Alif, dia tidak boleh menyanyi dengan baik namun dia tetap mencabar diri sebagai menampilkan kelainan dalam lagu tersebut. "Saya memang tak boleh menyanyi dan sebab itu saya hanya rap tetapi tidak salah saya mencuba. "Cuma saya tidak pasti sama ada saya boleh menyanyi bahagian korus lagu itu secara 'live' atau pun tidak. "Rasanya memang tak boleh dan akan 'miming' sahaja jika ada persembahan pentas," katanya.