suria

“Percikan Darah, Macam Tak Percaya” - Fizo Omar

Fizo Omar menyifatkan pengalaman menyaksikan sendiri proses kelahiran anak sulungnya pada Jumaat lalu sebagai luar biasa. Foto Instagram @fizoomar

EMPAT tahun menanti kehadiran zuriat pertama, pelakon dan usahawan Fizo Omar mengakui ia pengalaman luar biasa dapat melihat sendiri kelahiran bayi sulungnya pada Jumaat lalu.

Fizo, 32, menerusi Instagramnya memberitahu perasaannya bercampur baur apabila diberi peluang melihat sendiri proses kelahiran selepas mengharungi pelbagai cabaran sebelum isterinya, Mawar Abdul Karim disahkan hamil.

"Syukur Alhamdulillah aku diizinkan oleh-Nya untuk merasai nikmat mempunyai zuriat walaupun mengharungi satu tempoh yang agak lama serta pelbagai cabaran untuk Mawar nak hamil dulu.

"Aku juga diberi peluang untuk masuk ke dalam bilik pembedahan mengharungi setiap saat, getir Mawar bertarung nyawa untuk melahirkan baby pertama kami.

Fizo dan Mawar akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata perempuan selepas empat tahun berkahwin.

"Percikan darah dan air ketuban yang aku tengok tu macam tak percaya yang aku boleh masih lagi berdiri dan terus melihat 'magic moment' itu," tulisnya.

Mawar, 28, yang juga pengasas tudung Fareeda melahirkan bayi perempuan di Pusat Perubtan Pantai Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.01 petang Jumaat.

Bayi berkenaan dilahirkan secara pembedahan dengan berat 2.78 kilogram.

Cerita Fizo lagi, pada ketika itu fikirannya tidak lagi memikirkan soal takut melihat darah dan bahagian perut Mawar yang dibedah sebaliknya risau tentang keadaan anaknya selain tidak sabar untuk bertemu dengannya.

Fizo berkongsi pengalaman menyaksikan kelahiran anak pertamanya dengan pengikutnya di Instagram.

Katanya, sudah menjadi impiannya untuk bergelar seorang bapa dan saat dia bertentang mata dengan bayi perempuannya itu, Fizo memberitahu air matanya mengalir.

"Yalah mana taknya, bukan sahaja empat tahun aku menunggu malah sejak dari bujang lagi aku memang tak sabar nak ada anak sendiri kerana mempunyai cahaya mata adalah salah satu impian utama dalam hidup aku.

"Masa aku tengok Dr Hamid menarik kepala anak aku keluar,tiba-tiba air mata aku mengalir dengan sendiri dan aku tak terkata apa terpaku kat situ.

"Subhanallah aku macam tak percaya, Weh! Aku dah jadi Daddy! Itulah yang bermain di kepala aku," ujarnya.

Fizo menanam uri.

Bagaimanapun kata Fizo, walaupun teruja namun dia tidak mempunyai kekuatan untuk memegang anaknya itu dan hanya memerhatikan sambil mengalirkan air mata.

"Aku sampai tiada kekuatan nak pegang baby masa tu dan aku hanya mampu tengok dan layan je apa yang jururawat sedang buat kat anak aku.

"Mereka tepuk tapak kaki dan baby terus menangis, lagi kuat baby menangis, lagi kuat air mata aku mengalir keluar, Ya Allah, syukur kepada Mu Ya Allah," katanya lagi.

Fizo atau Wan Hafizul Wan Omar, 32, berkahwin dengan Mawar pada 10 November 2013.

Fizo Omar, Mawar Abdul Karim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mas Khan ‘Poyo’

Artikel Lain