suria

Serah Pada Pihak Berkuasa - Pekin

Pekin membuat laporan polis berhubung penyebaran filem KL Wangan di Facebook. Foto Instagram: pekin7words

PENGARAH dan pelakon, Pekin Ibrahim kecewa apabila filem arahannya KL Wangan tersebar di laman Facebook.

Pekin menerusi Instagram miliknya berkata, dia hanya mampu mengharapkan tindakan daripada pihak berkuasa.

"Tidak mampu berkata apa... Biarlah pihak berkuasa yang mengambil tindakan. Sabar, perjuangkan filem Malaysia, hentikan FB live," tulisnya.

Dalam posting tersebut Pekin turut memuat naik foto laporan polis yang telah dibuat.

Foto yang dimuat naik pada awal pagi Khamis.

Merujuk kepada laporan tersebut, dipercayai kejadian itu berlaku pada 3 Januari lalu dan filem KL Wangan telah disebarkan menerusi rakaman langsung di Facebook.

Foto dimuat naik pada pagi Khamis itu menerima lebih 4,000 tanda suka dan ratusan komen pengikut.

Ada yang meninggalkan komen berharap Pekin bersabar dan meminta pihak berkuasa menangani jenayah siber ini.

"Kenapa masih lagi ada yang tak sedar walaupun ramai dah produser dan pengarah buat laporan tentang kes cetak rompak FB live ni. Tolonglah faham hasil kerja anak seni yang bersusah payah untuk hasilkan satu karya. Bukannya senang nak bersengkang mata pagi ke malam.

Sebahagian isi kandungan laporan polis yang telah dibuat.

"Cuba bayangkan yang cari rezeki tu ahli keluarga anda sendiri untuk bagi anak-anak anda makan. Selagi perkara ni tak ambil tindakan keras selagi tu masih ada pekara sebegini. Keep strong bro," kata muhammadazfarfaiz.

Filem berkisah dunia permotoran yang menelan belanja hampir RM5 juta ini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 21 Disember lalu.

Sebelum ini, beberapa filem tempatan turut menerima nasib yang sama apabila menjadi mangsa cetak rompak digital.

Antaranya filem Pinjamkan Hatiku, Kau Yang Satu dan KL Gangster 2.

Pekin, KL Wangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain