suria

Penerbit Drama Runding Kurangkan Caj Di Putrajaya

Wakil persatuan bertemu Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Seri Hashim Ismail (empat dari kiri).

PETALING JAYA: Satu cadangan kadar sewa yang sesuai akan diusulkan kepada pihak Perbadanan Putrajaya selepas satu rundingan berkaitan caj harga lokasi penggambaran di sekitar Putrajaya diadakan.

Presiden, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, perbincangan yang diadakan pada Jumaat lalu itu bertujuan meminta mengurangan kadar caj kepada produksi tempatan yang sebelum ini dikenakan sehingga RM5,000 sehari.

"Dalam pertemuan itu, kami meminta penjelasan tentang kenaikan tersebut yang dianggap terlalu tinggi dan mendadak. Mereka menjelaskan bahawa kenaikan itu adalah selepas 20 tahun dan kos-kos pembanganan yang ditanggung.

"Bagaimanapun, mereka masih memberi peluang untuk kami memberi harga yang paling sesuai untuk pihak mereka pertimbangkan," ujarnya kepada mStar Online.

Jurey bersama beberapa wakil persatuan bertemu dengan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hashim Ismail di pejabat agensi itu pada Jumaat.

Perbincangan diadakan pada Jumaat.

Tambah Jurey, dia turut meminta agar harga tersebut dipecahkan kepada beberapa kategori penerbitan.

"Kita minta mereka memecahkan harga tersebut kepada beberapa kategori seperti penerbitan untuk drama televisyen, filem dan iklan seharusnya berbeza.

"Begitu juga untuk siaran tempatan atau dalam Malaysia sepatutnya mempunyai diskaun tertentu," ujarnya.

Terdahulu, Perbadanan Putrajaya mengumumkan kadar baharu bagi permohonan penggambaran di kawasan platium dikenakan RM5,000 sehari.

Manakala lain-lain kawasan sebanyak RM2,000 sehari dan deposit pada kadar rata sebanyak RM5,000 bagi setiap permohonan.

Sementara itu, Jurey berkata, dia turut menjelaskan harga baharu yang dikenakan itu membebankan pihak produksi dalam penerbitan drama.

"Kos semakin meningkat tapi peruntukan kita untuk buat drama masih sama. Bagi pihak mereka kenaikan itu sebagai membaiki kerosakan yang berlaku ketika penggambaran.

"Namun, setiap kali penggambaran kita mempunyai insurans yang akan menanggung kerugian sekiranya berlaku sebarang kerosakan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain