suria

Tasya Tak Tumpang Populariti Achey

Tasya tidak pernah menggunakan pengaruh abangnya untuk mendapat tempat dalam bidang hiburan. Foto AZLINA ABDULLAH

PESERTA Gegar Lawak iaitu Tasya menegaskan tidak pernah menggunakan nama abangnya yang juga pelawak Achey untuk menempatkan diri sebagai peserta program itu.

Sebaliknya kata Tasha, 25, dia sendiri tidak mengetahui bagaimana hubungannya dengan Achey dapat dihidu ketika dia menghadiri uji bakat saringan kedua.

“Ketika saya hadiri uji bakat, saya langsung tidak menyebut nama Achey atau pertalian kami sebagai adik-beradik kerana ingin berdiri atas kaki sendiri.

“Tambahan pula saya tak rasa jika mereka tahu saya adiknya ia akan memberi kelebihan kepada saya.

Tasya mahu berdiri atas bakat sendiri.

“Cuma terkejut juga ketika saringan kedua ada orang bertanya sama ada saya adik kepada Achey?” katanya.

Tasya atau Nornatasha Hamzah ditemui pada sidang media pelancaran program itu yang diadakan di Comedy Planet, Kuala Lumpur pada Isnin.

Seramai 14 peserta terdiri daripada peserta solo, duo dan trio terpilih untuk berentap dalam pertandingan itu.

Ia bakal bersiaran pada 19 Januari ini, pukul 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (134).

Achey banyak beri tunjuk ajar pada Tasya.

Dalam pada itu, Tasya berkata, dia sebenarnya bimbang apabila umum mengetahui hubungan mereka kerana sedar akan ada pihak membandingkan kebolehannya berlawak.

Selain itu, dia juga tidak mahu dikatakan menumpang populariti abangnya dan bukan berdasarkan bakatnya sendiri.

“Saya cukup bimbang orang akan kata saya tak lawak macam Achey dan ia sebenarnya memberi lebih tekanan kerana jangkaan orang itu lebih besar.

“Tetapi itu tidak akan melemahkan semangat saya dan harap orang akan menilao saya sebagai Tasya dan bukannya adik kepada Achey,” jelasnya.

Peserta Gegar Lawak.

Sementara itu, Tasya berkata, Achey ada memberinya sokongan ketika dia menyatakan hasrat menyertai pertandingan itu.

Malah abangnya itu turut berkongsi pengalaman dan tip untuk menjadi seorang pelawak yang baik.

“Saya sedar buat lawak bukan mudah tambahan pula saya tampil solo.

“Mujur ada Achey yang banyak beri galakan dan tunjuk ajar. Ia sedikit sebanyak menaikkan keyakinan saya,” katanya.

Tasya, Achey, Gegar Lawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain