TINDAKAN pelakon terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella memuat naik beberapa foto yang memperlihatkan bahagian perutnya seperti sedang hamil mengundang perhatian pengikutnya di Instagram. Rata-rata pengikutnya mula mengucapkan tahniah kepada isteri usahawan Engku Emran itu pada bahagian komen gambar tersebut. Laudya, 30, bagaimanapun ketika membalas beberapa komen peminatnya menyangkal dakwaan dia sedang hamil sebaliknya menjelaskan kesan angin membuatkan perutnya kelihatan besar. "Belum sayang. Mohon doanya ya. Aku belum hamil. Itu kesan angin, mohon doanya," tulisnya. Pasangan bahagia... Laudya dan Emran disatukan sebagai suami-isteri pada September tahun lalu. Mendengar penjelasannya, peminat tetap berdoa agar pelakon jelita itu akan dikurniakan cahaya mata tidak lama lagi. Laudya dan Engku Emran atau Engku Emran Engku Zainal Abidin, 43, selamat disatukan sebagai suami-isteri pada 8 September tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Kuala Lumpur. Engku Emran sebelum ini pernah berkahwin dengan aktres Erra Fazira pada 25 Oktober 2007 dan bercerai pada 18 Februari 2014. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 9 tahun.