PELAKON Adam Corrie memberitahu bahawa solatnya pernah dipersoalkan sesetengah pihak disebabkan tatu di badannya. Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 50, berkata dia bagaimanapun hanya tersenyum kerana sudah mengetahui tentang hukum bertatu sebelum memeluk Islam. "Saya pernah ditegur masa solat di set filem kerana ada tatu. Mereka kata solat saya tak sah. Ada yang suruh saya buang tatu dulu tapi saya senyum saja sebab saya dah tahu hukumnya. "Bagi mereka yang bertatu sebelum mengucap syahadah, solatnya sah dan tak wajib untuk buang tatu sekiranya memudaratkan diri," kata Adam. Adam memuat naik status perkongsian tersebut bagi menjawab isu penampilan pemain rugby, Sonny Bill William yang mempunyai tatu ditubuhnya ketika berada di Makkah baru-baru ini. Pengkongsian Adam di laman Instagramnya. Pelakon yang popular menerusi filem KL Gangster ini bagaimanapun tidak melenting serta mengakui isu tersebut sering dihadapi oleh mualaf. Adam menjelaskan kos membuang tatu adalah tinggi dan kesakitan yang dialami juga tidak tertanggung. Malah, Adam juga menasihati netizen supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum memberi pandangan. "Isu biasa yang dialami oleh saudara baru. Ini bukan isu sedih ke, marah ke, tertekan ke. Suruh orang bertabah ke. Kebanyakan saudara baru tahu solat mereka sah. "Ini cuma satu perkongsian untuk mereka yang masih tak tahu tentang perkara tersebut. Tidak semua berkemampuan, jadi Islam ada penyelesaian yang lebih meringankan. Status yang dimuat naik Adam. "Ia juga mungkin memudaratkan badan jika tatu penuh di badan hendak dibuang. Kos tinggi. Bukan sekali sahaja rawatan laser kena buat, banyak kali. Buat kajian sebelum berbicara," ujarnya. Dalam pada itu, Adam juga menyarankan saudara baru Islam tidak perlu berdebat mengenai isu tersebut dan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang untuk mengelakkan salah faham. "Saya selalu sarankan supaya saudara baru senyum sahaja. Tak perlu berdebat dengan mereka. "Saya juga sarankan pakai baju lengan panjang dan berseluar panjang supaya tatu tersebut tidak nampak orang lain. Untuk elak orang salah faham," katanya. Selain itu, Adam yang memeluk Islam pada 13 Julai 2007 itu mengakui tidak pernah berasa kecil hati dengan teguran mengenai tatunya.