PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil memberitahu hubungannya dengan isteri iaitu Datin Diana Danielle tidak mempunyai sebarang masalah. Farid atau Farid Kamil Zahari, 37, berkata dia bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak, Muhammad, 5, dan Aurora, 3, disampingnya. "Hubungan saya dan isteri baik-baik sahaja dan tiada sebarang masalah antara kami. "Saya bersyukur ada isteri dan dua orang anak yang sentiasa ada bersama saya," kata Farid kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: “Sumpah Saya Tak Tahu” - Ibu Mertua Farid Kamil Farid bersama adik, Fadzil Zahari (kiri) dan peguam Athari Bahardi (kanan). Foto: BERNAMA Farid ditemui sejurus selesai ikat jamin atas pertuduhan penyalahgunaan dadah jenis THC di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, pada Khamis. Pelakon yang terkenal menerusi filem Lagenda Budak Setan ini ditemani adiknya yang juga suami pelakon Yana Samsudin, Fadzil Zahari. Menurut Farid, dia juga sudah bertemu dua orang anaknya dan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepadanya. "Saya sudah bertemu dengan anak-anak dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti menyokong saya,” ujarnya. Dalam pada itu, Farid tidak dapat memberi penjelasan lebih lanjut mengenai laporan polis yang dimuat naik di laman Instagramnya pada Rabu. Farid ketika di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pada Khamis. "Maaf, buat masa ini saya tidak boleh memberi sebarang penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut kerana masih dalam siasatan," katanya. Menerusi laporan mStar Online pada Khamis, Farid mengaku tidak bersalah atas pertuduhan iaitu memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badan, pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan jaminan RM3,000. Mahkamah menetapkan tarikh yang sama dengan sebutan empat tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu 5 Mac depan sebagai sebutan semula kes ini. Terdahulu, Farid juga didakwa dengan empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu.