IMPIAN pelakon dan penyanyi, Aqasha untuk 'berduet' dengan Misha Omar akhirnya menjadi kenyataan walaupun sekadar di pentas pengacaraan sahaja. Menurut Aqasha atau Firdee Akassya Rosli, 35, dia teruja apabila ditawarkan untuk mengemudi rancangan Bintang RTM 2018 bersama penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu sebagai hos bersama. "Saya memang sudah lama memasang impian untuk menyanyi dengan Misha Omar. Akhirnya ada rezeki kami berdua. "Tapi duet kami bukanlah menerusi lagu sebaliknya bergandingan sebagai rakan pengacara. Apa-apa pun, saya anggap impian saya sudah tercapai," katanya kepada mStar Online. Mengakui dirinya seorang yang agak pendiam, Aqasha yakin dia mampu melunaskan tanggungjawab yang diberi untuk mengendalikan 11 minggu konsert mingguan rancangan berkenaan. Aqasha sebagai pengacara Bintang RTM 2018. Foto: INTAN SYUHADA. "Saya rasa ia satu gandingan yang seimbang. Misha seorang yang banyak cakap dan ceria. Saya pula tak banyak cakap. "Iyalah, kalau dua-dua banyak cakap, lain pula jadinya. Kami saling melengkapi dan harapnya semua suka gandingan kami," katanya lagi. Dalam pada itu, Aqasha merasakan peluang menjadi pengacara Bintang RTM 2018 ibarat satu penghargaan kerana dia juga lahir daripada pertandingan itu. "RTM adalah tanah tumpah darah saya. Saya pun bermula dengan Bintang RTM pada tahun 1999, bila dapat peluang mengacara program ini, ia adalah satu penghormatan bagi saya. Tambah Aqasha lagi, dia juga bangga kerana menjadi sebahagian daripada produk Bintang RTM yang sudah banyak melahirkan nama-nama besar dalam industri. Bintang RTM 2018 akan bermula pada Sabtu dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada setiap Sabtu, pukul 8.30 hingga 10.30 malam. Ia juga boleh diikuti secara dalam talian menerusi RTM mobile dan laman facebook Hiburan TV RTM. Misha Omar Sementara itu Misha berkata, tahun 2018 adalah masa yang tepat untuk dia kembali aktif dalam dunia seni. Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 36, berkata, keadaan kesihatannya pada tahun lalu kurang mengizinkan sehingga dia terpaksa memperlahankan kerjaya seni. “Saya sepatutnya merakam satu lagu runut bunyi (OST) untuk drama rantaian, tapi ia terpaksa ditunda. Setiap kali nak rakam lagu, mesti hilang suara. Bila suara dah baik, anak saya pula kurang sihat. “Perkara ini berlarutan dalam beberapa bulan. Tapi saya tak rasa ada kaitan dengan benda-benda misteri. Mungkin keadaan tak mengizinkan, saya pun baru lepas bersalin pada masa itu,” katanya. Menurut Misha, keadaan dirinya sudah kembali pulih dan dia kini bersedia untuk merancakkan industri seni.