PETALING JAYA: Stesen radio Suria FM berjaya menghasilkan video muzik terbaharu kumpulan popular Akim & The Majistret berjudul Lagu Untuk Laila. Ketua Kandungan Kreatif, Digital dan Pengurusan Penjenamaan Suria FM, Ahmad Shaifullizam berkata, kerjasama ini menjadikan ia sebagai pelopor dunia penerbitan digital masa kini. "Suria bersetuju menerbitkan muzik video ini bagi mengukuhkan komitmen kami dalam memberi yang terbaik menerusi platform digital. "Ini menjadikan Suria, sebuah radio platform yang menjadi pelopor dalam penerbitan MTV dalam dunia digital masa kini,” ujarnya. Sementara itu, Ahmad Shaifullizam atau lebih dikenali sebagai Gbam berkata, ia juga merupakan muzik video pertama kumpulan yang popular dengan lagu Potret itu dilakukan di luar negara. Katanya, pelbagai cabaran dilalui terutamanya ketika berhadapan dengan cuaca sejuk di negara itu. "Ini adalah muzik video Akim & The Majistret yang pertama dilakukan di luar negara dan kami amat berbesar hati kerana dapat menghasilkan muzik video Lagu Untuk Laila ini. "Walaupun mengalami perubahan cuaca yang sangat ketara, Akim & The Majistret menunjukkan komitmen yang sangat baik dan kami amat berterima kasih kepada usaha mereka dalam menjayakan muzik video ini,” katanya. Muzik video berkenaan mengisahkan tentang pencarian wanita bernama Laila ini akan dilancarkan secara eksklusif pada 6 Februari depan di Facebook Suria Malaysia. Penggambaran yang berlangsung selama lima hari itu bakal menyaksikan pemandangan indah Pulau Jeju dan beberapa tempat menarik seperti Jeju Swiss Village, Abu Oreum, Glass Castle dan Play Kpop. Dalam kesempatan itu, penggambaran travelog Kembara Lagu Untuk Laila bersama penyampai radio Suria, Zulin Aziz akan membawa penonton menyelusuri keindahan permandangan serta keunikan di Pulau Jeju. Siri perlancongan itu akan disiarkan setiap Selasa bermula 6 Februari depan di laman web Suria.my.