PELAKON Mira Filzah meluahkan kebimbangan terhadap gejala buli siber yang semakin berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia. Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, berkata dia khuatir jika gejala tersebut tidak dibendung dan menjadi semakin parah. "Saya bimbang dengan gejala buli siber yang menjadi-jadi terutamanya di alam maya. Kebanyakan pembuli ini adalah adik-adik yang masih bersekolah dan usia muda. "Ia memberi kesan kepada mangsa sehinggakan ada yang memilih jalan dengan membunuh diri. Kalau terjadi sampai tahap ini, ia sangat berbahaya. Mira berharap netizen menggunakan laman sosial dengan berhemah. "Lihatlah betapa bahaya implikasi yang diterima mangsa dan fikir apa yang pembuli dapat dengan melakukan perkara tidak bermoral itu?" katanya kepada mStar Online. Sementara itu, Mira berkata sebagai selebriti dia sudah terbiasa dengan komen-komen negatif netizen yang difikirkan turut merupakan antara bentuk pembulian siber. Menangani permasalahan tersebut, pelakon drama Cinta Si Wedding Planner ini memilih untuk mengabaikan mesej tersebut dan tidak terlalu memikirkan mengenai hal itu. Mira tidak mahu berdebat dengan netizen jika timbul sebarang isu. "Sebagai selebriti saya juga pernah menjadi mangsa buli siber dan itu perkara biasa bagi public figure. Saya anggap itu lumrah berada dalam bidang ini. "Kebiasaannya, saya abaikan sahaja komen negatif sebegitu dan tak perlu nak berpanjangan atau berdebat dengan netizen. Biarlah mereka nak kata apa pun. "Cumanya, kalau komen terlalu banyak sehingga menimbulkan perbalahan diantara peminat dan haters tersebut, saya perlu tamatkan ruangan tersebut. Tak mahu ia berpanjangan," katanya. Dalam perkembangan yang lain, Mira Fizah kini sedang mengendalikan program Nona terbitan TV3 untuk siaran 2018.