PENYANYI Adira enggan melayan kecaman netizen yang mengkritik tindakannya muncul menerusi muka hadapan sebuah majalah popular bersama aktres Izreen Azminda hanya kerana mereka memegang status isteri kedua. Sebaliknya kata Adira, 27, dia sudah lali dengan kata-kata negatif dilemparkan terhadapnya dan perkara itu akan berlalu sekiranya dia mengambil tindakan berdiam diri. "Kalau layan memang sakit hati jadi lebih baik jangan lain kerana lama-lama mereka akan diam sendiri. "Saya sendiri dah bermacam-macam kontroversi yang saya lalui jadi saya dah lali, katalah apa pun," katanya. Adira muncul dengan single terbaharu yang berjudul Sembunyi. Adira ditemui pada majlis pelancaran muzik video artis dibawah label Rocketfuels di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa. Izreen dan Adira menjadi sasaran apabila tajuk muka hadapan majalah itu 'Naluri Isteri Nombor 2' mencetuskan kemarahan netizen terutama wanita yang mendakwa majalah itu tidak sepatutnya mengangkat kedua-dua selebriti berkenaan. Pelbagai kata-kata negatif dilemparkan terhadap kedua-dua artis itu malah ramai mengecam untuk memboikiot majalah berkenaan. Dalam pada itu, Adira berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan tajuk digunakan kerana menganggap ia sebahagian daripada teknik pemasaran dalam melariskan penjualan. Izreen Azminda. "Bukannya saya minta tajuk begitu tetapi saya secara peribadi tiada maslah dengan pemilihan tajuk tersebut. "Tetapi saya faham isu melibatkan poligami memang perkara sensitif dalam kalangan masyarakat," ujarnya. Sementara itu, Adira memberitahu dia yakin Izreen juga tabah dan kuat dalam mengharungi kecaman netizen terhadapnya. "Saya pernah lalui perkara sama sebelum ini dan rasa kasihan juga dengan Izreen kerana teruk dihentam netizen. Tetapi saya tahu Izreen seorang wanita yang kuat dan tabah," katanya. Artis dibawah naungan Rocketfuel. Dalam perkembangan lain, Adira berkata, dia baharu sahaja muncul dengan single terbaharunya yang berjudul Sembunyi dan akan kembali sibuk dengan karier seninya selepas ini. "Sembunyi masih sebuah karya balada tetapi sarat dengan elemen R&B. Saya ingin tampil kelainan kerana ingin mengikut peredaran muzik semasa. "Fokus saya tahun ini juga untuk kembali merancakkan karier seni memandangkan sebelum ini agak lama saya berehat," katanya.