suria

Ditahan Angkara Farid, Sofi Jikan Tetap Bersangka Baik Pada Sahabatnya Itu

Sofi Jikan tidak tahu niat Farid berbuat demikian.

PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan masih tertanya-tanya dan tidak tahu sebab utama aktor Datuk Farid Kamil membuat laporan polis terhadapnya.

Bagaimanapun, Sofi atau nama sebenarnya Mohd Shoffi Jikan, 48, berkata, dia sentiasa bersangka baik terhadap rakannya itu.

"Sampai sekarang saya tidak tahu sebab apa dia berbuat demikian dan dia juga tiada menghubungi saya sehingga sekarang.

"Sama ada kami masih berkawan atau tidak sepatutnya awak tanya dia, saya sentiasa bersangka baik," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

“Allah Saja Tahu Hubungan Saya Dengan Farid” - Sofi Jikan

Sofi memuat naik foto bersama Farid dua hari lalu bertanya tentang nilai persahabatan.

Dalam pada itu, Sofi berkata, dia juga tidak faham mengapa aktor itu memberi tanda suka (like) terhadap foto-foto dan video ketika ditahan yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Sofi dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Dia disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pelakon itu diberkas ketika hadir untuk memberi keterangan di Balai Polis Mutiara Damansara berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Selain Sofi, individu lain yang didakwa Farid terlibat memasukkan dadah dalam minumannya ialah Ahmad Tajuddin atau Taj yang merupakan anggota kumpulan Innuendo dan individu lain iaitu Firdaus.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangan kerjaya, Sofi berkata, dia akan meneruskan kerjaya lakonan seperti biasa selepas dibebaskan pada Jumaat.

"Insya Allah selepas ini saya meneruskan penggambaran filem Polis Evo 2 dan beberapa projek lain. Bulan depan saya akan terbabit dalam filem baru. Terima kasih kepada semua,” katanya.

Sofi Jikan, Farid Kamil

Artikel Lain