suria

Populariti Antara Sebab Juri Pilih ‘Jampi’ Menang AJL32

Hael berjaya 'Jampi' Anugerah Juara Lagu ke 32. Foto: M. AZHAR ARIF.

KETUA juri Anugerah Juara Lagu Ke 32 (AJL32), Azmeer berkata, antara faktor kemenangan lagu Jampi nyanyian Hael Husaini dalam pertandingan itu kerana populariti karya berkenaan pada ketika ini.

Azmeer berkata kesemua 10 juri yang mengadili karya berkenaan bersetuju dan sepakat memilih lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong itu tanpa pertikaian untuk memenangi AJL32.

"Tiada perbalahan dalam memilih pemenang dan semua juri juga setuju pilih lagu Jampi sebagai juara dan juga lagu-lagu lain.

"Lagu Jampi itu boleh pergi ke semua tempat. Bukan dari sudut permarkahan kualiti lagu tetapi Jampi sudah menakluti pelusuk negara termasuk negara jiran.

"Sedikit sebanyak markah dari segi populariti lagu tersebut juga memberi impak selain melodi dan susunan lagu yang cantik serta menyampaian yang bagus," ujarnya kepada mStar Online.


Hael memberitahu kemenangan itu adalah rezeki anaknya, Helena.

Selain Azmeer, barisan juri dibarisi oleh Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Datuk Ramli Sarip, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), Helen Yap, Sharon Paul, Edrie Hashim dan Aizat Amdan.

Dalam pada itu Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 31, mengakui dia bukan seorang penyanyi yang hebat namun berusaha untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik.

"Lagu Jampi ini pada mulanya saya hanya anggap sebagai pengenalan diri dalam dunia muzik tanah air. Tidak terbayang untuk masuk bertanding dalam pentas yang besar.

"Alhamdulillah, lagu itu sampai ke tahap ini. Memang diakui saya bukan seorang penyanyi yang mempunyai vokal yang bagus dan bukan juga penyanyi yang hebat.

Vokal Syamel dan Ernie dikatakan cukup sempurna tanpa melakukan kesalahan.

"Tapi saya sentiasa mahu memperbaiki diri dari masa ke masa untuk menjadi yang lebih baik," kata Hael.

Hael dan komposer lagu itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, sebuah trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM10,000.

Naib juara AJL32 pula milik lagu berjudul Sejati ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan nyanyian Azmi Caliph Busker.

Tempat kedua itu melayakkan pemenangnya menerima hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Lagu Tergantung Sepi ciptaan Gouffran dan Ibnu nyanyian Haqiem Rusli pula mendapat tempat ketiga.

Manakala penyanyi Ernie Zakri dan Syamel merangkul anugerah Vokal Terbaik menerusi lagu duet mereka, Aku Cinta.

Lagu nyanyian Altimet iaitu Amboi  mendapat sambutan yang begitu hangat sehingga memenangi anugerah Persembahan Terbaik.

Malam kemuncak AJL32 berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Artikel Lain