suria

“Sebagai Pendatang Baru Saya Ikut sahaja. Takkan Nak Jadi Diva” - Wany Hasrita

Wany mahu memberi tumpuan pada kariernya selepas ini dan tidak mahu mengambil peduli mengenai komen negatif. Foto: SYAZANA ABD SHUKUR.

PENYANYI Wany Hasrita terkesan dengan kritikan dan kecaman daripada netizen mengenai persembahannya pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) pada malam Ahad lalu.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, berkata dia tidak mahu terlalu memikirkan hal tersebut dan hanya ingin memberi fokus terhadap kariernya selepas ini.

"Tujuan saya muat naik status terdapat buli siber bukan kerana berasa tertekan. Tapi ingin memberi kesedaran pada orang luar bahawa buli siber itu sememangnya wujud.

ARTIKEL BERKAITAN Pereka Fesyen Komen Pakaian Wany, Haqiem Macam Star Wars, Hero Drama India

Netizen kata Wany tidak membuat persembahan dengan baik pada malam AJL 32.

"Baru saya tahu perasaan orang yang melalui situasi buli siber. Memang menyakitkan hati. Pada awalnya, tidak dinafikan saya terkesan juga dengan kritikan netizen.

"Tapi hanya sekejap sahaja. Saya dah lakukan yang terbaik pada malam itu. Jadi, lebih baik saya fokus pada karier selepas ini," kata Wany kepada mStar Online.

Wany ada memuat naik status menerusi laman Instastorynya dengan mengatakan kewujudan buli siber dan mendoakan tidak ada sesiapa yang perlu melalui situasi tersebut.

"Buli siber benar terjadi. Saya berdoa agar semua orang tidak perlu melalui situasi seperti ini," tulis Wany.

Antara kritikan yang ditinggalkan di ruang komen foto Wany.

Manakala ruang komen di foto laman Instagram Wany dan YouTube dipenuhi dengan pelbagai kritikan dan pendapat daripada netizen.

Rata-ratanya meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan nyanyian Wany yang dikatakan sumbang, malah gimik ‘drama’ pembuka persembahan juga tidak sesuai dan ketinggalan zaman ketika mempersembahkan lagu Menahan Rindu.

Bagaimanapun, Wany menjelaskan idea dan konsep tersebut bukan datang daripada pihaknya atau pihak pengurusan namun hanya mengikut kehendak pihak ketiga.

Luahan Wany menerusia Instastorynya.

"Pihak tersebut yang mahukan konsep seperti itu. Saya sebagai pendatang baru hanya ikut sahaja. Takkan saya nak demand atau jadi diva," ujarnya.

Dalam pada itu, Wany memberitahu jika diberi peluang dia ingin melakukan konsep yang berlainan dan sesuai dengan lagu Menahan Rindu yang mempunyai banyak maksud.

"Kalau ikutkan saya sendiri mahukan konsep yang berlainan dan sesuatu yang boleh orang ingat sampai bila-bila.

"Lagu Menahan Rindu itu sendiri mempunyai maksud yang banyak. Bukan hanya untuk kekasih sahaja tetapi rindu pada ahli keluarga juga," katanya.

Wany Hasrita

Artikel Lain