suria

“Saya Sudah Jangka…” - Zarul Husin

Zarul tidak kisah digelar sebagai pelakon 'kayu'. Foto INTAN SYUHADA.

PENYANYI Zarul Husin sudah menjangkakan lakonannya menerusi drama berantai Syurga Yang Kedua akan dikatakan sebagai 'kayu' oleh penonton.

Zarul atau Zairulkefli Husin, 45, bagaimanapun berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan kritikan negatif terhadapnya kerana sebagai pelakon dia sudah memberikan yang terbaik.

"Saya memang sudah jangka orang akan kritik lakonan kerana saya sendiri sedar yang saya memang tidak ada pengalaman dalam lakonan sebelum ini.

"Apatah lagi membawa watak utama. Orang nak kata saya kayu pun, terpulanglah pada mereka. Saya pun tidak boleh menghalang penonton daripada memberikan pendapat.

Zarul semakin selesa bergelar pelakon.

"Kritikan membina akan saya ambil untuk menjadikan lakonan saya lebih baik selepas ini," katanya kepada mStar Online.

Menerusi drama bersiri itu, Zarul memegang watak sebagai Daniel yang menjalani kehidupan berpoligami dan bergandingan dengan aktres Fasha Sandha dan Siti Elizad.

Dalam pada itu, Zarul mengakui pada awalnya agak sukar untuk dia membiasakan diri ketika berada di set penggambaran sehingga menimbulkan rasa janggal.

Zarul masih aktif menyanyi.

Bagaimanapun katanya, dia banyak menerima tunjuk ajar daripada Fasha dan Elizad yang tidak lokek ilmu bagi memastikan dia berasa lebih yakin.

"Drama ini panjang, lebih kurang 70 episod dan sekarang ini Alhamdulillah saya sudah semakin selesa ketika berada di set.

"Syukur juga gandingan saya iaitu Fasha dan Elizad banyak memberi tunjuk ajar," katanya

Diarahkan oleh Zamri Zakaria, Syurga Yang Kedua sedang ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, 6 petang di Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Zarul Umbrella

Artikel Lain