RAMAI yang tertanya-tanya kemanakah hilangnya Cristina Suzanne dalam radar dunia hiburan? Pelakon ini memberitahu kehilangannya bukan bermakna dia sudah tiada tawaran berlakon sebaliknya membantu keluarga mengusahakan katering di Kuantan, Pahang. Kata pemilik nama sebenar Cristina Suzanne Stockstill, 33, ini, dia bersama keluarganya memulakan perniagaan itu sejak setahun lalu dan dia kini semakin selesa dengan cabang baharu yang diceburinya itu. "Saya tak hilang pun... ada je dekat Kuantan. Tolong mak buat katering dekat kampung sejak setahun yang lalu. "Ia menyeronokkan kerana selain dapat dekat dengan keluarga, dapat juga saya belajar bidang perniagaan dan bantu apa yang patut. "Tetapi katering yang kami usahakan bukanlah secara besar-besaran tetapi lebih kepada majlis-majlis kecil seperti hari jadi, kenduri doa selamat, masuk rumah baru dan sebagainya," ujar Cristina. Cristina muncul dengan filem terbaharu, Surf The Love. Cristina ditemui pada majlis tayangan perdana filem Surf The Love yang diadakan pada malam Isnin lalu. Diarahkan oleh Wan Mohd Hafiz Wan Hussain, selain Cristina, filem yang mengangkat kisah mengenai kehidupan peluncur air itu turut membariskan pelakon seperti Shukri Yahaya, Pekin Ibrahim, Josiah Hogan dan Ardell Aryana. Ia bakal menemui penonton di pawagam bermula 22 Februari ini. Dalam pada itu, Cristina berkata, walaupun dia dilihat menyepi namun dia masih aktif berlakon cuma jarang menonjolkan diri seperti menghadiri acara hiburan. Shukri Yahaya pelakon utama Surt The Love. "Jika ada penggambaran saya akan ke Kuala Lumpur dan jika tiada saya akan berada di Kuatan. "Alhamdulillah walaupun kurang publisiti dan saya pun memang jarang menonjolkan diri tetapi rezeki dalam bidang lakonan masih ada malah saya akan memasuki set sebuah drama bersiri 28 episod dalam minggu ini," katanya. Bercakap mengenai Surf The Love, Cristina yang juga Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-26 itu berkata, dia teruja dengan filem itu kerana menyifatkan ia projek 'kawan-kawan' selain ia sebuah naskhah berbeza. "Watak saya santai sahaja dalam filem ini tetapi apa yang membuatkan ia menarik adalah subjek yang diketengahkan iaitu kehidupan mengenai peluncur air jarang diketengahkan. "Lagi best projek ini ada kawan-kawan dan apabila ada orang yang kita kenal lagi seronok nak bekerja," katanya.