PELAKON Aeril Zafrel berang apabila ada pihak yang menjalankan perniagaan atas talian menggunakan gambar dia dan isteri tanpa kebenaran bagi tujuan publisiti di laman Facebook. Menurut Aeril, pihak pengurusannya kini dalam perancangan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pengendali laman tersebut. "Pemilik laman web ini telah menggunakan gambar saya dan isteri tanpa kebenaran untuk tujuan promosi dan perniagaan mereka. "Pihak pengurusan kami dalam usaha mengambil tindakan undang-undang ke atas pengendali page ini kerana keengganan bekerjasama meskipun beberapa kali amaran telah diberikan oleh pihak kami," ujarnya. Aeril Zafrel muat naik status penafian di Instagramnya. Menerusi status di Instagramnya pada Selasa, suami kepada pelakon Wawa Zainal ini menegaskan dia dan isteri tiada kaitan dengan syarikat tersebut. Mereka juga tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kemudaratan ketika pelanggan berurusan dengan pihak berkenaan. "Saya dan isteri juga tidak terlibat dalam urusan perniagaan syarikat tersebut. Justeru itu, kami tidak akan bertanggungjawab bagi segala perkara berbangkit. "Tujuan hal ini diuar-uarkan bagi mengelak sebarang kemungkinan yang boleh mendatangkan kemudaratan, kerugian dan ketidak-baikan dalam perkara-perkara yang tidak diingini berlaku pada saya dan isteri juga kepada mana-mana pihak lain yang berurusan dengan entiti perniagaan tersebut," katanya. Keluarga bahagia... Aeril dan isteri, Wawa Zainal serta dua cahaya mata, Fakharuddin dan Hayla. Perkongsian tersebut menerima hampir 10,000 tanda suka dan puluhan komen daripada pengikut. Rata-rata bersetuju dengan tindakan Aeril memuat naik status tersebut bertujuan menyedarkan mereka mengenai penipuan tersebut. "Terima kasih atas info tersebut Aeril sebab saya pun ada join pertandingan itu di page Facebook. Hari ini dah kecoh kata page itu menipu. "Tak patut buat macam itu, saya pun ada ternampak contest ini. Ada terjebak untuk komen sekali. Ramai juga tukang komen dalam Facebook itu," komen netizen.