suria

Izreen Azminda Terima Cacian Suami Mahu Cerai Isteri Pertama

Izreen Azminda menutup ruangan komen di Instagram sejak mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude.

GARA-GARA perceraian yang bakal berlaku antara pemuzik bebas Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude dengan isteri pertamanya Intan Liana Saleh, aktres Izreen Azminda sebagai isteri kedua menerima tempias dikecam hebat netizen.

Rata-ratanya meluahkan rasa marah terhadap Izreen yang dikatakan menjadi punca Ude mengambil keputusan untuk melepaskan isteri pertamanya itu.

Netizen turut bersimpati dengan nasib malang yang bakal menimpa Intan dan anak-anak mereka kerana wanita itu bukan sahaja tidak bekerja malah tiada kenderaan untuk bergerak kemana-mana.

Buat masa ini Intan hanya mengharapkan kenderaan kakaknya sahaja. Turut menambah rasa pilu melihat dua anak Intan dan Ude yang masih kecil dan tidak tahu apakah makna perpisahan ibu-bapa mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebaknya... Intan Mengaku Sayangkan Ude, Tak Tahu Kenapa Dia Mahu Diceraikan

ARTIKEL BERKAITAN: Izreen Bakal Jadi Isteri Pertama, Ude Mahu Ceraikan Intan

Izreen mendedahkan dia berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos tahun lalu.

Menerusi instagram rasmi mStar Online iaitu @mstaronlineofficial, kami menerima lebih 1,000 komen yang ditulis pada foto dan video berkaitan berita mengenai hasrat Ude melepaskan isterinya itu.

Tindakan itu disebabkan hasrat netizen untuk memberikan pandangan mereka terhadap Izreen gagal kerana wanita itu bertindak menutup ruangan komen pada laman sosialnya sejak dia mendedahkan mengenai perkahwinanannya dengan Ude pada November lalu.

Ada segelintir peminat yang mengakui pernah meminati pelakon itu namun berubah hati selepas Izreen berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang.

Kebanyakan komen yang ditinggalkan bersifat kutukan, hinaan dengan kata-kata dan bahasa kesat ditujukan kepada Izreen termasuklah tuduhan merampas dan memusnahkan kebahagiaan orang lain.

Ude turut menerima kecaman serupa apabila netizen menganggap dia bukan lelaki bertanggung jawab kerana mahu menceraikan Intan sedangkan isteri pertamanya itu sudah bersetuju dan merestui untuk hidup bermadu dan berkongsi kasih bersama Izreen.

Ude bersama anak-anaknya.

Dalam kenyataan kepada portal Berita Harian pada Rabu Izreen berkata dia tidak mencampuri urusan perceraian suaminya itu dengan Intan.

Kata Izreen, Ude tidak berkongsi masalah rumah tangga yang dihadapinya dengan isteri pertama itu.

"Jujurnya, ada kala saya tidak tahu apa masalah mereka. Saya tidak pernah bertanya, bergaduh atau apa saja berkaitan dengan rumah tangganya bersama Intan.

"Sudah menjadi prinsip hidup kami, apabila pulang ke rumah saya, hanya hal rumah tangga kami dibincangkan. Saya sedar kedudukan saya sebagai isteri kedua, jadi lebih baik saya tidak ambil tahu," ujarnya.

Portal sama yang menyiarkan kenyataan Ude pula melaporkan, pemuda itu mendakwa perpisahan mereka merupakan jalan terbaik kerana dia sudah tiada hati untuk meneruskan kehidupan bersama Intan.

Titisan air mata Intan yang masih menyayangi suaminya.

Pasangan berkenaan hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi proses lafaz cerai yang sepatutnya berlangsung pada Rabu namun ia ditanggungkan pada 22 Mac depan selepas peguam mewakili Ude iaitu Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain memohon untuk menyelesaikan beberapa isu tuntutan selepas perceraian.

Ude, 30, memfailkan permohonan berkenaan terhadap Intan pada 30 November 2017. Pasangan itu berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.

Pada November lalu, Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.

Izreen mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinan terdahulunya dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza.

Izreen Azminda, Intan, ude

Artikel Sebelum

Artikel Lain