PELAKON Zara Zya mengakui perubahan dari segi penampilan yang dilakukannya membuatkan segelintir masyarakat tidak dapat terima. Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 33, berkata dia membuat perubahan tersebut atas dasar kerja namun masih ada yang tidak memahami maksud itu. "Sebelum ini penonton melihat penampilan saya bertudung dan berambut hitam dalam semua drama lakonan saya. "Cuma kali ini saya nak buat kelainan dengan membuat sedikit perubahan. Pertama kalinya, saya mewarnakan rambut perang untuk telenovela terbaru, Mona Lisa. "Saya ada memuat naik foto penampilan baru di Instagram dengan beserta kapsyen memberitahu ia hanya untuk kerja tapi ada segelintir orang tak dapat terima,” kata Zara kepada mStar Online. Zara mengakui perubahan yang dilakukan masih ada segelintir pihak yang tidak dapat terima. Zara ditemui ketika sidang media telenovela Mona Lisa di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside, di sini, pada Rabu lalu. Menurut Zara, dia sudah bersedia dengan sebarang kritikan mengenai lakonannya menerusi telenovela terbaru itu yang diadaptasi daripada drama korea popular, The Women’s Room. Sebelum ini, Zara pernah dikecam peminat-peminat artis Korea Selatan gara-gara pertanyaannya secara terbuka berkaitan keistimewaan artis K-pop di laman Instagram. "Saya tahu dan sudah bersedia dengan sebarang kritikan apabila telenovela itu mula ditayangkan nanti. "Sebelum ini pun saya pernah dikecam disebabkan salah faham. Jadi, saya dah tak kisah bab kecaman," ujarnya. Zara bakal keluarkan single pertama tidak lama lagi. Drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin itu mula bersiaran pada 20 Mac ini setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang. Tayangannya menerusi slot Tiara di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135). Dalam pada itu, Zara bakal mewarni industri muzik dengan melancarkan single pertama berjudul Hilang tidak lama lagi. "Alhamdulillah, ni salah satu kejutan untuk peminat saya. Insya-Allah tidak lama lagi saya akan mengeluarkan single pertama berjudul Hilang. "Mesti akan ada yang tak suka tapi tak kisah lah sebab saya tahu akan tetap ada orang yang boleh terima," katanya.