suria

“Di London Saya Bergaya, Di Makkah Pun Macam Tu Tapi Taklah Melampau” - Che Ta

Rozita Che Wan semenangnya suka bergaya tapi dia tahu hadnya. FOTO: Izzat Khalizan

PELAKON Rozita Che Wan mengakui dia sekadar menjadi diri sendiri dan tidak berniat untuk bergaya secara berlebih-lebihan setiap kali menunaikan ibadah Umrah di Kota Suci Mekah.

Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta, 45, berkata, dia sudah terbiasa bergaya dan perkara itu bukanlah sesuatu yang aneh baginya.

"Saya memang jadi diri saya, kalau di Kuala Lumpur atau sewaktu ke London pun saya bergaya, di Mekah pun macam tu juga.

"Tapi sebenarnya tidaklah melampau pun. Bersolek pun tidak, sebab itu saya pakai kaca mata hitam dan purdah (ketika di Mekah)," katanya kepada mStar Online.


Rozita (kanan) yang dilantik sebagai duta Koperasi Tunas Muda Sg Ara Berhad bersama mereka yang terlibat dalam koperasi berkenaan.

Dia ditemui sewaktu sidang media pengenalannya sebagai duta Koperasi Tunas Muda Sg Ara Berhad di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, pada Rabu.

Pelakon Kiah Pekasam itu diminta mengulas mengenai teguran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ashraf Wajdi mengenai trend menjadikan Mekah sebagai lokasi berfesyen khususnya bagi kalangan selebriti tempatan.

Menurut isteri kepada pelakon Zain Saidin itu, dia tidak terasa dengan teguran itu dan menganggap ia adalah satu teguran terbuka untuk semua orang.

Jelasanya lagi, dia juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya mengambil gambar di Mekah sehingga menggangu ibadah.

Che Ta memang terkenal dengan sikapnya yang suka bergaya terutamanya ketika ke luar negara. Foto: Instagram Rozita Che Wan

"Walaupun saya bawa jurufoto ke sana, tapi tak adalah sepanjang masa saya ambil gambar.

"Kadang-kadang lepas sarapan pagi, ada masa sikit, saya luangkan untuk bergambar. Selebihnya saya tumpukan untuk ibadah.

"Iyalah, kalau sekadar nak bergambar je, baik saya pergi London," ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu baru sahaja dilantik sebagai duta Koperasi Tunas Muda Sg Ara Berhad untuk mempromosi projek perumahan di Kulim Hi Tech Park, Kedah.

Dia dipilih menjadi duta kerana statusnya sebagai anak jati Kedah bersempena projek pertama koperasi itu di negeri berkenaan.

Rozita Che Wan, Che Ta

Artikel Lain