KUALA LUMPUR: Pelakon Elvina Mohamad selamat bergelar isteri kepada usahawan muda Datuk Mohd Haniff Borhan dengan sekali lafaz di Hotel Royale Chulan di sini, pada Ahad. Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 23, dan Haniff, 32 dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Asy Syakirin KLCC, Mohd Radhi Abdul Ghani kira-kira pukul 3.27 petang. Pengantin perempuan menerima RM700 sebagai mas kahwin dan senaskhah Al-Quran sebagai wang hantaran berserta tujuh berbalas sembilan dulang. Mohd Haniff bergelar suami dengan sekali lafaz. Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 150 jemputan yang terdiri daripada keluarga, kenalan rapat pengantin dan rakan media. Sementara itu, pelakon drama Shhh... I Love You dan selebriti permotoran itu malangsungkan upacara pertunangan terlebih dahulu sebelum majlis pernikahan. Pada majlis itu, pasangan pengantin memakai busana putih rekaan Inderaloka dan solekan oleh Sakinah. Cantik Elvina mengayakan busana Inderaloka. Majlis resepsi pasangan yang bertemakan Fairytale akan diadakan pada 24 Mac ini di lokasi sama, di sini. Sebelum itu, majlis berinai berlangsung pada malam 16 Mac lalu di A Park, Puchong, Selangor dengan bertemakan Bollywood. Elvina dan Haniff berkenalan pada sekitar dua tahun lalu mulai rapat sejak setahun lalu sebelum mereka membuat keputusan untuk ke jinjang pelamin kira-kira tiga bulan lalu.